KIRA-KIRA 4,000 murid di 100 sekolah terpilih di seluruh negara menikmati sajian sarapan pagi percuma fasa pertama yang bermula semalam.
Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, ia satu penambahbaikan kepada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diperkenal Kementerian Pelajaran sejak 1979.
Antara penambahbaikan dilaksana termasuk pemilihan kriteria murid dari golongan miskin berbanding hanya miskin tegar atau murid dari kalangan orang kelainan upaya (OKU) atau murid di sekolah orang asli sebelum ini.
Makanan disediakan berdasarkan cadangan Kementerian Kesihatan iaitu setiap sajian mengandungi nutrisi dan kalori sesuai kepada murid.
Ada lebih 20 menu disediakan dan pihak sekolah melalui kantin boleh bergilir untuk menyediakan menu berkenaan.
Waktu pelaksanaan itu antara jam 7 hingga 7.30 pagi untuk sesi pagi dan bagi sesi petang, ia bermula jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang.
Kebanyakan sekolah terpilih terletak berhampiran dengan kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan 90 peratus murid menghuni di kawasan itu.
Ia turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Dengan menyediakan sarapan pagi yang berkhasiat akan melahirkan generasi yang sihat dan cerdas kerana murid yang tidak bersarapan menjadi kurang aktif berbanding yang bersarapan.
Sarapan penting bagi murid sekolah agar dapat menumpukan perhatian sepanjang sesi pembelajaran. Tidak mustahil, ia juga akan menjejaskan pembelajaran dan tumpuan mereka di sekolah.
Pada masa yang sama, program RMT ini juga dapat menjimatkan masa ibu bapa untuk menyediakan bekal kepada anak-anak.
Kementerian Pelajaran perlu sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan penambahbaikan program RMT itu mencapai objektif dan matlamat yang ditetapkan. Ia termasuk memastikan pelaksanaannya mengikut garis panduan yang ditetapkan dan jaminan kualiti makanan.