KEMAMAN - Penubuhan pusat penyedia latihan bertauliah, ZABSI Training Academy Sdn Bhd merupakan antara langkah penting dalam usaha meningkatkan pengetahuan serta kecekapan dalam bidang operasi pembersihan sekali gus memastikan alam sekitar yang mampan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Mashitah Darus berkata, selain meningkatkan kompetensi profesional, pusat latihan itu turut mampu memainkan peranan aktif bagi menyokong agenda kelestarian alam sekitar negara.
"Program latihan yang dijalankan iaitu Certified Environmental Professional in Scrubber Operation (CePSO) dan Certified Environmental Professional in Bag Filter Operation (CePBFO) adalah program yang sangat relevan dan kritikal.
"Ini bagi memastikan prestasi sistem penggahar (scrubber) yang berkesan, pemantauan dan penyelenggaraan pencegahan operasi serta operasi sistem penapis beg yang lebih efektif selain mematuhi standard persekitaran yang ditetapkan.
"Saya yakin bahawa ZABSI Training Academy Sdn Bhd yang pertama ditubuhkan di Pantai Timur ini akan menjadi sebuah institusi latihan yang unggul dalam melahirkan golongan profesional berkemahiran tinggi dan kompeten dalam bidang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Majlis Perasmian ZABSI Training Academy Sdn Bhd di Dewan Ibnu Sina di Kolej Universiti TATI (UC TATI), di sini pada Khamis.
Mashitah berkata, latihan yang komprehensif dan menyeluruh akan membekalkan setiap peserta dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mendalam, penting bagi menghadapi cabaran dalam pengurusan alam sekitar serta keselamatan industri.
"Dengan adanya program latihan seperti CePSO dan CePBFO, kita dapat memastikan bahawa pengurusan sisa selain operasi penapis beg dilaksanakan dengan cara yang lestari dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan ZABSI Training Academy Sdn Bhd, Ir Ts Mohd Zainudin A Bakar berkata, pembukaan pusat latihan berkenaan dapat membantu Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS) dan JAS mencapai kelestarian alam sekitar melalui latihan pekerja industri.
"Pusat latihan ini akan mengendalikan latihan (CePSO dan CePBFO) bermula Jun depan dengan tempoh latihan selama lima hari melibatkan 25 orang peserta,” jelasnya.