KOTA KINABALU - Lebih 22,800 jemaah haji Malaysia sudah berada di Makkah dan Madinah setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 31,600 orang jemaah haji dari Malaysia yang akan menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini.
"Sebanyak 100 penerbangan sewa khas haji terus membawa jemaah ke Tanah Suci yang telah bermula pada 9 Mei lalu," katanya ketika berucap pada majlis meraikan keberangkatan jemaah haji negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu di sini malam ini.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni turut hadir bagi meraikan kumpulan pertama terdiri 134 orang, daripada keseluruhan 940 jemaah dari negeri ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Dalam pada itu Mohd Na’im turut menasihati agar setiap jemaah mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi mahupun peraturan Tabung Haji bagi menjamin keselamatan jemaah serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji.
Beliau turut memberi peringatan kepada pengurusan Tabung Haji agar sentiasa berusaha memantapkan perkhidmatan agar terus dapat memberikan kelesaan kepada semua pihak. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!