SHAH ALAM - Seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang disyaki diserang pengawal pengiring kenamaan, mendakwa ada pihak yang menyediakan laporan kedua dan dia diarahkan untuk menandatanganinya.
Mangsa, Ong Ing Keong, 46, mendakwa, laporan tersebut memberi pilihan kepadanya sama ada menerima sejumlah wang ringgit atau telefon bimbitnya akan dirampas.
Kerana tertekan,Ing Keong berkata dia memilih pilihan kedua kerana takut tidak dapat berkomunikasi dengan rakan dan keluarga.
"Telefon saya disimpan berjam-jam dan tidak membenarkan saya menjawab mesej.
"Saya sangat memerlukan telefon itu untuk bekerja, ia nyawa saya,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook akaun Lawyers For Liberty pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pemandu e-hailing membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya dipukul pengawal pengiring kenamaan ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di ibu negara.
Tidak lama selepas itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan lelaki tersebut telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.
Baginda bertitah, tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang dan mahu tindakan mengikut undang-undang diambil demi memberi keadilan kepada mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerusi satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang didapati terlibat
Beliau menegaskan, pegawai-pegawai yang terlibat dalam insiden itu akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Ing Keong menerusi sidang akhbar sama turut memaklumkan dia ingin menyelesaikan isu tersebut dan tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!