ALOR SETAR - Kejayaan Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar) tersenarai sebagai antara institusi tahfiz terbaik di negara ini membuktikan pusat pendidikan Islam berpusat di Alor Setar, di sini setanding dengan institusi tahfiz terkemuka lain.
Ketua Pegawai Operasi Iqdar, Kadri Abdul Hamid berkata, pengiktirafan tersebut juga secara tidak langsung menarik perhatian ramai pelajar yang memohon untuk belajar di institusi tahfiz berkenaan.
Menurutnya, seramai 124 calon yang layak telah dipanggil menghadiri sesi temu duga untuk pengambilan baharu bermula Selasa hingga Khamis lalu.
"Pengiktirafan ini telah menunjukkan bahawa lonjakan kejayaan Iqdar untuk memastikan agenda melahirkan huffaz adalah setanding dengan institusi tahfiz terkemuka lain di Malaysia.
"Setakat ini Iqdar berjalan dengan baik dan baru saja selesai sesi temu duga bagi kemasukan pelajar baharu sesi 2024,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jelas Kadri, peningkatan graduan keluaran Iqdar setiap tahun juga telah memberi impak yang besar kepada pembangunan dan ekonomi negara.
Menurutnya, sebanyak 51 mahasiswa diraikan pada Majlis Graduasi Sah Khatam Hafazan Al-Quran Iqdar kali ke-37 di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary di sini baru-baru ini.
Majlis turut meraikan kejayaan 28 orang pelajar Iqdar yang telah berjaya mendapat tauliah mengajar di Kedah.
Sementara itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Siti Aishah Ghazali pada majlis graduasi Iqdar itu berkata, institusi berkenaan mampu membina masa depan yang lebih gemilang.
Menurutnya, Yayasan Islam Negeri Kedah bersama kerajaan negeri akan terus bekerjasama membantu Iqdar sebagai platform terbaik dalam mendidik masyarakat terutamanya para pelajar bagi menghayati al-Quran dan memahami isi kandungannya.