SHAH ALAM - Memasuki aliran sekolah menengah agama selepas tamat Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bukan pilihan yang salah, malah Anis Adilah Abdul Halim kini sedang membina kerjaya sebagai jurutera mekanikal di sebuah syarikat terkemuka.
Menurut wanita berusia 26 yang berasal dari Besout, Perak itu, bimbingan dan program persediaan menghadapi peperiksaan SPM anjuran pihak sekolah membantu pelajar untuk lebih memahami setiap subjek selain membentuk sahsiah diri.
Ujar bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) Klang tersebut, walaupun menerima pandangan dan kritikan mengenai pelajar aliran agama, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus melakar kejayaan.
"Menyambung pelajaran di KISAS bukan satu kesilapan tetapi saya bersyukur kerana pendidikan agama yang diterapkan membentuk diri saya pada hari ini.
"Saya menduduki SPM pada tahun 2015 dan alhamdulillah berjaya meraih 11A. Selepas itu saya menyambung pengajian di peringkat Asasi Universiti Malaya sebelum masuk ke Universiti Teknologi Mara dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.
"Kini saya bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat terkemuka dan sedang membina kerjaya yang lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, menurut Anis Adilah, keseimbangan akademik dan agama penting untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup.
Ujarnya, bimbingan dan contoh baik yang diberikan oleh guru dan senior memberi impak positif kepada diri sendiri.
"Semua program dan inisiatif yang disediakan oleh guru- guru menjadikan diri saya cemerlang dari segi akademik dan pada masa yang sama memenuhi rohani,” katanya.