JOHOR BAHRU - Gara-gara bekerja tanpa permit sah, seramai 98 warga asing ditahan hasil serbuan berasingan melibatkan empat pihak berkuasa di Iskandar Puteri dan Tangkak, pada Rabu dan Khamis lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, operasi dijalankan secara bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Johor bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Unit Penguatkuasaan Cawangan Muar serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Tangkak.
Katanya, tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan susulan maklumat awam yang mengesyaki ada warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit yang sah di kedua-dua kawasan berkenaan.
"Secara keseluruhannya, seramai 36 warga asing serta empat premis diperiksa di Iskandar Puteri manakala 295 warga asing dan tempatan serta empat premis diperiksa di Tangkak.
"Mereka yang ditahan di Iskandar Puteri melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun yang juga penjaga premis, 10 lelaki dan enam wanita warga Myanmar, tiga lelaki Thailand dan seorang wanita Laos yang berusia 25 hingga 53 tahun.
"Selain itu di Tangkak, seramai 36 lelaki warga Bangladesh, lima lelaki dan tiga wanita Nepal, 13 lelaki Pakistan, 12 lelaki Myanmar, lapan lelaki India dan seorang wanita Kemboja berusia 19 hingga 51 tahun ditahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kesemua warga asing yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(7) (a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial, Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Sementara itu, lelaki warga tempatan yang turut ditahan dalam operasi berkenaan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing.
Sebanyak lapan notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan kepada kesemua individu yang terlibat dalam operasi yang dijalankan bagi membantu siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!