Siasatan ibu bapa Zayn Rayyan ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.

PETALING JAYA - Polis menjalankan siasatan ke atas ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang ditemui dibunuh di Damansara Damai di sini, Disember lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suami isteri itu ditahan berdasarkan hasil maklumat risikan dan siasatan dari hari pertama kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

"Tangkapan berpandukan risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang. Tangkapan ini bagi membantu siasatan.

"Mereka direman tujuh hari, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh)," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan pasangan berusia 28 tahun terbabit dipercayai ditahan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, Selangor kira-kira jam 11 pagi Jumaat.

Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Iklan

Pada 6 Disember lalu, kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!