Gelombang PN makin pudar, peluang PH rampas semula DUN Sungai Bakap

Iklan
Mujahid (tiga dari kiri) bersalaman dengan Mohd Asmirul (dua dari kanan) ketika hadir sesi libat urus bersama jawatankuasa pimpinan, sayap dan kawasan Amanah Kedah, di Wisma Amanah.

ALOR SETAR - Gelombang Perikatan Nasional (PN) yang melanda negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang didakwa semakin pudar dan ia membuka peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, calon PH diyakini mempunyai peluang cerah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dan kerusi berkenaan akan menjadi titik tolak kepada permulaan perpecahan gelombang PN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sudah pasti pencapaian kerajaan negeri dinaungi PH selain tiga penggal diwakili wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN berkenaan akan dijadikan penilaian dalam memilih wakil rakyat baharu.

"Potensi untuk PH rampas kembali kerusi itu sangat cerah, sangat tinggi, malah kerusi itu akan menjadi permulaan untuk ‘pecahkan’ gelombang PN pada PRU lepas.

Iklan

"Saya yakin momentum kemenangan PH yang bermula dari beberapa PRK sehingga kepada Kuala Kubu Baharu dapat dikekalkan dan dibawa ke Sungai Bakap.

"Saya juga percaya Sungai Bakap dapat memecahkan gelombang PN tersebut berdasarkan kepada pencapaian yang kita capai sepanjang menjadi kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi libat urus bersama jawatankuasa pimpinan, sayap dan kawasan Amanah Kedah, di Wisma Amanah pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Amanah Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Mujahid berkata, pengaruh PH selama tiga penggal di DUN Sungai Bakap tidak seharusnya dipertikaikan walaupun tewas dalam PRN lalu, kerana ia berpunca daripada gelombang PN yang melanda seluruh negeri.

"Sebelum ini, selama tiga penggal Sungai Bakap diwakili pemimpin PKR, sebelum itu UMNO, bermakna pengaruh itu sudah cukup untuk dinilai penduduk yang merasai manfaat kepimpinan PH.

"Pulau Pinang pula ditadbir PH sejak 2008, sudah tentu banyak faedah diperoleh pengundi di situ. Cuma apa yang berlaku dalam PRU dan PRN lepas, kita berdepan gelombang (PN), sehingga banyak kerusi tewas, termasuk di kubu kuat Seberang Jaya. Bukan sahaja berlaku di Utara, malah Selatan juga alami gelombang sama,” jelasnya.

Menurutnya lagi, secara tradisinya kerusi Sungai Bakap ditandingi PKR dan semua parti dalam PH berpegang kepada persefahaman bahawa mana-mana parti penyandang secara asasnya akan bertanding di kerusi terbabit.

"Kemenangan mana-mana (parti) bertanding sebagai calon PH adalah kemenangan semua parti dari Kerajaan Perpaduan. Amanah akan bagi sokongan sepenuhnya untuk pastikan kemenangan calon PH walau siapa pun yang dipilih,” ujarnya.

Mengulas desas-desus bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar diuar-uarkan antara calon sesuai bertanding DUN Sungai Bakap, Mujahid tegaskan, pemilihan calon adalah urusan PKR dan Amanah akan menyokong calon pilihan parti itu.

"Saya tidak ada hak bercakap bagi pihak PKR, saya hanya boleh bercakap urusan parti Amanah. Saya tak mahu campur, itu urusan mereka, siapa pun yang dipilih, Amanah akan sokong,” ujarnya.

Menurutnya, Amanah akan membantu kempen DUN terbabit untuk memenangkan calon PH mengikut garis panduan parti bertanding.

"Kempen politik di negeri kebanyakan bertumpu kepada isu negeri, jadi di Pulau Pinang kita akan fokus kepada polisi kerajaan yang dicapai selain manfaat diperoleh pengundi Sungai Bakap.

"Kita juga bersedia memperjelaskan isu-isu nasional yang dibangkitkan pihak lawan, serta perjelaskan tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri, semua aspek akan diambil kira sebagai bahan kempen,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK DUN Sungai Bakap.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu susulan kematian penyandangnya, Zamri Latiff pada 24 Mei lepas.

Nor Zamri, 56, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 1.38 tengah hari ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose yang merupakan Ketua Wanita PKR negeri itu dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!