Suami isteri maut dilanggar kereta masuk laluan bertentangan

Iklan
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, kaki dan anggota tangan.

ALOR GAJAH - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Bukit Hantu, Rembia, di sini, pada malam Jumaat.

Dalam kejadian lebih kurang jam 8.12 malam itu, mangsa lelaki, 67, yang bekerja sebagai tukang rumah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, 57, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden, Ashari Abu Samah, berkata, siasatan awal mendapati mangsa pasangan suami isteri yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari Lendu menghala ke Alor Gajah.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, kereta Proton Saga yang dipandu pelajar lelaki berusia 20 tahun telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal dinaiki mangsa.

Remuk.. motosikal ditunggang pasangan suami isteri terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Bukit Hantu, Rembia, di sini, pada malam Jumaat.

Iklan

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan kepala, kaki dan anggota tangan.

"Manakala pemboncengnya disahkan meninggal dunia di Hospital Alor Gajah semasa menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Iklan

Jelasnya, isteri mangsa bekerja di sebuah kilang telur dan kemalangan itu dipercayai berpunca daripada faktor kegagalan mengawal kenderaan.

"Mayat pasangan suami isteri telah di hantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!