PETALING JAYA - Sebarang keputusan untuk menjalankan siasatan semula di lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin serta rumah keluarganya di Damansara Damai di sini, bergantung pada keperluan siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, buat masa ini, pihaknya memerlukan keterangan ibu bapa mangsa sebelum pihaknya mengambil tindakan lanjut.
"Perkara itu bergantung kepada hasil soal siasat nanti," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Pada Sabtu, media melaporkan ibu bapa kanak-kanak autisme itu direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat bagi membantu siasatan.
Sebelum itu, Hussein mengesahkan siasatan ke atas pasangan suami isteri itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.
Beliau berkata, penangkapan pasangan suami isteri itu adalah berdasarkan hasil maklumat risikan dan siasatan dari hari pertama kejadian.
Difahamkan, kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) masing-masing berumur 28 tahun itu ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selama tempoh reman berjalan.
Pada 5 Disember tahun lalu, kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang di Damansara Damai sebelum mayatnya ditemui berhampiran aliran anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok unit kediamannya di Apartment Idaman pada keesokan hari.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!