Motif pembunuhan Zayn Rayyan dalam siasatan polis

Iklan
Hussein

PETALING JAYA - Motif pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin masih lagi dalam siasatan pihak polis susulan tangkapan melibatkan ibu bapa kanak-kanak itu pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan berkaitan kejadian.

Iklan
Iklan

"Dua suspek berkenaan direman seminggu untuk siasatan selanjutnya termasuk melibatkan motif pembunuhan mangsa.

"Butiran dan maklumat lanjut berkaitan siasatan masih belum dapat didedahkan setakat ini, sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak," katanya.

Iklan

Pada Jumaat, pasangan suami isteri itu ditahan di kawasan sekitar Puncak Alam oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kira-kira jam 10.05 pagi.

Kedua-dua suspek kemudiannya direman seminggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!