Pelajar Malaysia cipta sejarah cemerlang di Mesir

Iklan
Muhammad Asyraf (tiga dari kanan) mencipta sejarah apabila menjadi pelajar Malaysia pertama yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang di peringkat sarjana daripada Kuliah Ulum Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

IPOH - Seorang anak bekas pesara mencipta sejarah apabila menjadi pelajar Malaysia pertama yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang di peringkat sarjana daripada Kuliah Ulum Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Kegigihan Muhammad Asyraf Mohd Abdul Aziz, 29, untuk menamatkan pengajian di sebalik pelbagai kekangan dihadapi nyata berbaloi apabila dianugerahkan Ijazah Sarjana dalam bidang Hadis dengan pangkat Mumtaz.

Iklan
Iklan

Bercerita mengenai pengalaman tersebut, dia sendiri amat berbangga dengan kejayaan dikecapi itu kerana pelbagai kesusahan dihadapi termasuk terpaksa menangguhkan pengajian beberapa kali kerana kekangan kewangan.

Muhammad Asyraf (kanan) ketika sidang munaqasyah membahaskan tajuk tesisnya iaitu Takhrij dan Dirasat terhadap Kitab 'Mursyid ath-Thullaab ila al-Kariim al-Wahhaab Li al-Imam al-Syaikh 'Ali bin Ahmad al-Maliibari asy-Syaafi'i (928 H)' dari Awal Bab Amar Ma'aruf Nahi Munkar sampai Akhir Kitab.

Anak kelahiran Kampung Parit Abbas, Kuala Kurau itu memulakan pengajian di universiti berkenaan pada 2018 bagi mengikuti tamhidi atau asasi sarjana sehingga selesai pada tahun 2019.

Iklan

"Bagaimanapun pada awal tahun 2020, saya terpaksa pulang ke Malaysia kerana tidak dapat dana pendidikan untuk meneruskan pengajian. Dalam tempoh penularan Covid-19 saya menjalankan perniagaan menjual sambal, nasi lemak dan minyak untuk kumpul duit.

"Sejak itu, saya hanya banyak membaca dan usaha kumpul dana. Disebabkan dana tak mencukupi, saya terpaksa letak sasaran dalam tempoh singkat untuk siapkan tesis. Saya datang semula ke Mesir pada 1 Disember 2022 dan mula menulis seminggu selepas itu sehingga siap pada awal Oktober 2023," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Muhammad Asyraf mengakui sepanjang tempoh itu kehidupannya tidak teratur terpaksa bersengkang mata apabila memulakan hari seawal jam 2 pagi untuk menyiapkan penulisan tesis dengan tajuk Takhrij dan Dirasat terhadap Kitab 'Mursyid ath-Thullaab ila al-Kariim al-Wahhaab Li al-Imam al-Syaikh 'Ali bin Ahmad al-Maliibari asy-Syaafi'i (928 H)' dari Awal Bab Amar Ma'aruf Nahi Munkar sampai Akhir Kitab.

Katanya, menjadi rutin harian dengan bangun sebelum subuh dan tidak akan tidur sehingga sebelum solat Zohor untuk memastikan penulisan tesis dapat disiapkan selain merujuk hasil penulisan kepada penyelia setiap seminggu atau dua minggu sekali bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

Jelas anak ketiga daripada empat beradik itu, antara cabaran lain yang dihadapi adalah pengurusan kuliah di sana secara manual menyebabkan ia mengambil masa untuk disempurnakan serta mendapat penilaian.

"Sepanjang penulisan tesis, saya memang usahakan untuk siapkan secepat yang mungkin dan menjaga penulisan agar tidak berlaku banyak kesilapan. Usaha yang diakukan ini bagi saya tidaklah seberapa tetapi mungkin kerana doa yang tidak putus daripada ibu bapa, guru-guru dan sahabat yang sentiasa mengingati saya menyebabkan kejayaan ini dikecapi akhirnya.

"Apa yang pasti, ibu bapa menjadi tulang belakang untuk saya terus cekal menghadapi pelbagai dugaan ini termasuklah ahli keluarga yang lain. Tak lupa juga buat bapa sahabat saya, Ustaz Shamsul Bahrin yang sentiasa bertanyakan keadaan saya sama ada cukup duit atau tidak selain orang ramai dan pihak-pihak lain yang memberikan zakat," katanya.

Sementara itu, dia yang masih lagi berada di Kaherah, Mesir berhasrat untuk meneruskan lagi pengajian ke peringkat seterusnya jika dana pendidikannya mencukupi.

Muhammad Asyraf berjaya lulus munaqasyah atau viva di hadapan tiga panel iaitu Pensyarah Hadis dan Ulum Hadis, Ketua Usuluddin dan Mantan Wakil Dekan Fakulti Dirasat Islamiyyah, Universiti Al-Azhar, Prof Dr Subhi 'Abdul Fattah Sayyid Rabi'; Pensyarah Hadis dan Ulum Hadis Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Kaherah. Mantan Dekan Fakulti Usuluddin Bur Sa'id dan Dumyat, Prof Dr Muhammad Nasr ad-Dusuqi al-Labban serta Pensyarah Hadith dan Ulum Hadith, Wakil Dekan Fakulti Dirasat Islamiyyah, Universiti Al-Azhar, Prof Dr Nadi Abdullah Muhammad.

Sidang munaqasyah berkenaan berlangsung selama 3 jam 30 minit membahaskan tajuk tesis berkenaan yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Atase Pendidikan Negeri Perak; Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi; Atase Agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ameer Ikhwan Zaini serta rakan-rakan mahasiswa dari pelbagai negara.

Sementara itu, kejayaan Muhammad Asyraf itu turut dikongsi oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang turut memberikan dana tajaan kepada pelajar tersebut.

Menerusi hantaran di Facebook, pihak MAIPk mengucapkan tahniah di atas kejayaan Muhammad Asyraf dan menzahirkan penghargaan kepada semua pembayar zakat.