SHAH ALAM - Satu Jawatankuasa Protem telah dibentuk bagi merealisasikan hasrat penubuhan Mahkamah Timbang Tara, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) (AIAC).
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, penubuhan jawatankuasa itu juga selaras dengan aspirasi kolektif Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika (AALCO).
"Jawatankuasa Protem telah diberikan mandat bagi menerajui penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC, termasuklah penelitian mekanisme, protokol dan rangka kerja pengoperasian Mahkamah Timbang Tara AIAC ini secara efektif kelak.
"Jawatankuasa ini turut berperanan untuk menerapkan elemen ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran Mahkamah Timbang Tara AIAC sebagai badan pembuat keputusan kes-kes yang dirujuk ke AIAC selaras dengan peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan AIAC," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi dan 16 orang ahli Jawatankuasa ini telah dilantik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said.
Pengerusi ialah mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Mary Lim Thiam Suan manakala 16 ahli merupakan jawatankuasa yang berpengalaman luas, berkredibiliti dan terkemuka dalam bidang perundangan dan Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Tambah kenyataan itu, Penubuhan Jawatankuasa Protem juga diyakini dapat menyumbang secara konstruktif kepada penubuhan AIAC.
Ia juga selaras dengan usaha kerajaan meminda undang-undang yang relevan termasuk Akta Timbang Tara 2005 [Akta 646] yang sedang dimuktamadkan dan dijangka akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang.
"Pelaksanaan inistiatif-inisiatif baharu ini juga bagi memperkukuh kedudukan AIAC sebagai institusi timbang tara antarabangsa yang bebas di bawah naungan Asian- African Legal Consultative Organization (AALCO) sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai pilihan utama tempat penyelesaian timbang tara ADR secara keseluruhan di peringkat domestik dan antarabangsa," ujarnya.