SHAH ALAM - Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar di negara ini harus diterapkan dengan ilmu Islam termasuk dalam pengajian Turath.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan, penerapan itu dibuat agar acuan AI dari negara Islam tidak terpisah dari sistem, nilai dan akhlak.
"Kalau AI itu hendak dikembangkan di Malaysia yang kita asak dengan kuat, supaya universiti-universiti dan fakulti AI dan sebagainya, kalau mahu berjaya kita mesti latih anak-anak kita yang mempunyai kepakaran AI itu untuk memasukkan memuatkan khazanah ilmu Islam dan Turath dalam korpus AI,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Festival Turath Islami Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah.
Kebimbangan Perdana Menteri mengenai pengembangan AI di negara ini terlalu mengikut acuan Barat, turut diajukan kepada pakar iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft dan syarikat pelopor AI terkemuka dunia Nvidia.
"Apa yang dilontar dan dimuntahkan robot baru AI ini berdasarkan ilmu dimasukkan kepada dia (AI). Sekarang ini kita serah kepada Barat. Sebab itu saya katakan Turath itu ada kaitan,” ujarnya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!