KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan menganjurkan Konvensyen dan Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 peringkat kebangsaan pada Julai, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, tarikh serta lokasi konvensyen dan sambutan akan dimaklumkan kemudian, selepas BN mengadakan perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi.
Zambry berkata, pelbagai program dirancang sempena sambutan itu untuk tahun ini, termasuk konvensyen peringkat negeri yang akan diadakan di Johor dan Kelantan pada 8 Jun, diikuti Terengganu dan Pahang pada 15 Jun, manakala negeri lain akan diatur kemudian.
"BN juga akan menganjurkan beberapa siri forum, wacana dan townhall yang akan diadakan di negeri-negeri dan peringkat pusat bagi mengadakan perbincangan dan menyegarkan pemikiran serta wacana politik yang baik untuk negara.
"Kita akan menjemput pelbagai pihak termasuk generasi muda dan pemikir untuk mendengar suara serta pandangan, bagi mengukuhkan BN menghadapi dekad seterusnya,” katanya pada sidang media dan prapelancaran sambutan itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Sabu.
Zambry berkata, BN juga akan melancar dan menerbitkan satu dokumen khas berkisar sejarah perjuangan parti itu, yang bermula dengan penubuhannya hingga kini.
Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, beliau berkata, gabungan parti di bawah Kerajaan Perpaduan akan mengadakan perbincangan berkenaan calon yang bertanding.
"Biasanya dalam keadaan begini kita bincang, hasrat mungkin ada nak letak calon, parti itu nak letakkan calon, semua parti berkeinginan, tetapi akhirnya kita akan buat keputusan bersama.
"Dalam tradisi Barisan Nasional dan dalam konteks kerajaan hari ini, kita perlu ada semangat hormat-menghormati dan kalau sekiranya kita tahu kerusi itu di bawah siapa, kita akan bincang sebaiknya,” katanya.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK berkenaan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!