Kempen Keselamatan Dalam Talian untuk Kanak-kanak dan Keluarga akan dilancar

Iklan
Fahmi menyampaikan ucapan pada Karnival Kita Madani peringkat Kuala Lumpur dan Putrajaya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi akan melancarkan Kempen Keselamatan Dalam Talian untuk Kanak-kanak dan Keluarga dalam masa terdekat, bagi menangani isu keselamatan golongan berkenaan di alam siber, kata Menterinya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ia bagi membanteras jenayah pengantunan kanak-kanak menerusi media sosial dan menghentikan isu kanak-kanak di bawah 13 tahun yang mendaftar bagi penggunaan media sosial, walaupun platform tersebut tidak membenarkannya.

Iklan
Iklan

"Jadi di sini kita lihat ibu bapa, memang kita faham platform ini banyak mendatangkan manfaat tapi ada juga banyak kemudaratan.

"Harapan saya dengan kempen ini, kita akan dapat kumpulkan semua agensi termasuk PDRM, Bank Negara (Malaysia) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi memberi penegasan, apakah langkah yang perlu kita ambil untuk sentiasa menjamin keselamatan diri, anak dan keluarga kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini pada Sabtu.

Iklan

Fahmi berkata, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak D11 Bukit Aman, turut memaklumkan platform yang paling banyak disalah guna untuk tujuan pengantunan kanak-kanak ialah aplikasi WhatsApp.

Ditanya mengenai isu bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) berikutan dakwaan bekalan BPT hanya didapati di program karnival jualan Madani, Fahmi berkata, kerajaan tidak mengawal bekalan itu, sebaliknya tiga langkah sekurang-kurangnya telah diambil untuk meningkatkan kuantiti bekalan BPT.

Iklan

"Salah satunya adalah kerajaan telah mengubahsuai kontrak bagi agensi untuk membeli beras beras import. Ini memungkinkan lebih 20,000 tan beras tempatan untuk kembali ke pasaran tempatan.

"Simpanan rizab beras tempatan juga telah mula dicairkan dan dibawa keluar daripada simpanan. Proses itu mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan memanjangkan isu berkaitan BPT kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Mengulas mengenai penganjuran Karnival Kita Madani, Fahmi berharap karnival yang bertujuan menyampaikan program kerajaan kepada rakyat, dapat diteruskan ke negeri-negeri lain dalam usaha mendekatkan jurang komunikasi.

Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya disertai agensi di bawah Kementerian Komunikasi antaranya Jabatan Penerangan, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Antara pengisian program karnival itu ialah Jualan Rahmah, Sukan Rakyat, Program Jualan Agro Madani dan Larian Madani. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!