JOHOR BAHRU - Hanya kerana tertarik dan percaya dengan keuntungan hasil pelaburan yang disertainya, seorang peniaga kedai roti berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM167,000, baru-baru ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey, mangsa pada mulanya memuat naik satu aplikasi ‘Tan Tan’ pada awal Mei 2024 dan berkenalan dengan seorang wanita dari luar negara.
Katanya, setelah dua minggu, wanita tersebut kemudiannya menawarkan pelaburan kripto dengan menjanjikan pulangan sebanyak 10 hingga 20 peratus daripada modal yang dillaburkan dan keuntungan akan diperolehi dalam tempoh tiga jam daripada transaksi pembayaran.
"Tertarik dan percaya dengan keuntungan yang dijanjikan pada pertengahan Mei 2024, peniaga kedai roti berkenaan telah membuat pembayaran ke beberapa akaun bank tempatan hingga mencecah RM167,000.
"Selepas pembayaran dibuat, mangsa membuat semakan melalui pautan yang diberikan sebelum ini dan mendapati memang ada keuntungan daripada pelaburan sebelum ini.
"Mangsa kemudiannya diminta telah menghubungi suspek tetapi nombor telefon berkenaan disekat dan mangsa telah disekat selain pautan juga sudah tidak wujud,” katanya.
Mangsa kemudiannya mengesyaki telah ditipu oleh syarikat berkenaan dan telah membuat laporan polis pada Jumaat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tidak kurang satu tahun, dan tidak lebih dari 10 tahun dan juga dengan sebat atau boleh juga dikenakan denda.