Nasib 115 keluarga pekerja Ladang Kerilla bakal terbela

Iklan
Saraswathy (tiga dari kiri) bergambar bersama pihak pengurusan kuil dan tetamu jemputan Majlis Sambutan Ulang Tahun Kuil Dan Perayaan Aandu Thiruvizha Ke 108 Tahun Dan Program Perpaduan 'Semarak Perpaduan' pada Sabtu.

TANAH MERAH - Nasib 115 keluarga pekerja di Ladang Kerilla di sini yang memohon tanah di ladang itu sebelum ini bakal mendapat pembelaan selepas perkara berkenaan mendapat perhatian Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy.

Saraswathy berkata, sebelum ini pekerja yang tamat tempoh bekerja atau berusia lebih 50 tahun terpaksa keluar dari kawasan ladang dan membina rumah di lokasi lain.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penduduk mendakwa, ladang milik sebuah syarikat swasta itu sudah menjadi lokasi mencari rezeki ahli keluarga pekerja ladang kira-kira lima generasi lalu.

"Kini, generasi keempat dan kelima memohon untuk mendapatkan tanah bagi membolehkan mereka tinggal dalam satu penempatan berdekatan kuil itu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Kuil Dan Perayaan Aandu Thiruvizha Ke 108 Tahun Dan Program Perpaduan 'Semarak Perpaduan' pada Sabtu.

Saraswathy memberitahu, sebelum ini pekerja terbabit ditawarkan tanah di Kampung Gobek iaitu kira-kira 12 kilometer dari Ladang Kerilla.

Iklan

"Bagaimanapun, ramai yang tidak bersetuju kerana sangat jauh dengan kuil dan tanah perkuburan sedia ada di kawasan ladang tersebut," katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri prihatin menyelesaikan masalah generasi keempat dan kelima itu yang sudah sekian lama membantu meningkatkan ekonomi dalam bidang perladangan.

"Saya akan berusaha dengan melakukan rundingan bersama beberapa pihak termasuk kerajaan negeri dan pengurusan syarikat ladang ini," katanya

Dalam pada itu, Saraswathi turut menerima memorandum daripada pihak pengurusan kuil bagi membaik pulih keadaannya yang sudah uzur.

"Saya akan meneliti memorandum ini untuk mendapatkan bantuan sewajarnya bagi membolehkan hasrat pihak pengurusan kuil membaiki kerosakan dan menambah kemudahannya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!