Novel terbaharu Asma Nadia ilham daripada kisah pembaca

Iklan
Penulis novel, Asma Nadia (kiri) dan Helvy Tiana Rosa melakukan gimik pelancaran Novel 'Cinta Maha Luas' dan 'Kepada Perempuan Yang Menginginkan Suamiku' di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Novel Karangkraf melancarkan dua judul buku baharu iaitu Cinta Maha Luas dan Kepada Perempuan Yang Menginginkan Suamiku yang mengangkat tema-tema pemberdayaan wanita dalam menghadapi rintangan berumah tangga.

Penulisnya, Asma Nadia berkata, kedua-dua karya tersebut diilhamkan daripada kisah benar yang dikongsi oleh pembaca menerusi hantaran e-mel setiap hari.

Iklan
Iklan

Menurut novelis dari Indonesia yang popular dengan novel Surga Yang Tak Dirindukan itu, plot penceritaan kedua-dua karya berkenaan turut menyelitkan elemen misteri dan saspens selain persoalan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.

"Pembaca banyak berkongsi cerita mereka dan saya menulis kisah-kisah mereka untuk bantu wanita lain supaya tidak terus berputus asa dalam mendepani cabaran perkahwinan.

Iklan

"Selepas mendengar cerita mereka saya bertekad untuk menulis tentang wanita.

"Novel ini turut mencatatkan panduan untuk wanita menyelesaikan masalah dengan elegan dan bukan sekadar menangisi nasib mereka sahaja,” katanya.

Iklan
Penulis novel, Asma Nadia (kiri) dan Helvy Tiana Rosa (kanan) bergambar bersama Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin pada Majlis Pelancaran Novel 'Cinta Maha Luas' dan 'Kepada Perempuan Yang Menginginkan Suamiku' di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Novel Cinta Maha Luas dan Kepada Perempuan Yang Menginginkan Suamiku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024) di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Reruai Karangkraf di PBAKL menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan untuk semua golongan masyarakat yang dijual pada harga serendah RM10 selain potongan harga sehingga 20 peratus kepada pelanggan.

Pesta buku tersebut akan berlangsung sehingga 2 Jun dan reruai Karangkraf berada di Aras 3, Dewan Tun Razak 3, WTCKL.

Dalam pada itu, menurut penulis bersama novel Kepada Perempuan Yang Menginginkan Suamiku, Helvy Tiana Rosa, wanita yang diuji dengan kekecewaan, kecurangan dan kesedihan tidak sepatutnya terus bersedih, sebaliknya mereka perlu bangkit untuk meneruskan kehidupan.

"Kita mahu mesej ini disampaikan kepada semua wanita dan wanita bukan kuat kerana suaminya tetapi mereka perlu kuat untuk anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan Grup Buku Karangkraf, Siti Rahmah Mokhtarudin berkata, Grup Buku Karangkraf adalah penerbit pertama bagi kedua-dua tersebut yang diterjemahkan dari bahasa Indonesia ke bahasa Melayu.

Menurutnya, setiap pembaca perlu memiliki naskah tersebut kerana ia bukan hanya mahu mengangkat tema percintaan semata-mata tetapi mendidik wanita untuk mengetahui hak dalam hubungan perkahwinan.

"Kita syarikat pertama yang terbitkan kedua-dua karya ini kerana mereka menghantar manuskrip awal kepada kami dan ia mengambil masa dua bulan untuk diterjemah.

"Novel ini perlu dimiliki oleh semua pembaca. Kita mahu didik dan sampaikan mesej kepada wanita untuk terus kuat dan memperjuangkan hak mereka sebagai isteri,” katanya.