JEMPOL - Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas didapati tiada di rumahnya di Taman Desa Puteri, Bahau di sini sejak Jumaat.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, Mustafa Jalil, 90, yang merupakan pesara tentera disedari tiada di rumah pada jam 7.30 pagi oleh pengadu iaitu menantu lelakinya.
"Pengadu bertindak bertanyakan kepada jiran sebelum mencarinya di sekitar kawasan perumahan tetapi dia gagal dikesan. Bapa mentuanya itu dikatakan sering kali keluar rumah tetapi akan pulang ke rumah kurang 24 jam.
"Warga emas itu tinggal bersama keluarga pengadu sejak 14 tahun lalu sehingga sekarang dan kebiasaannya keluar rumah bersendirian dengan membawa dokumen pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, berdasarkan siasatan lanjut, pengadu memaklumkan bapa mentuanya itu sering berhalusinasi dan memberitahu ada bisikan seseorang supaya pergi ke Pulau Pinang dan Alor Gajah, Melaka tanpa tujuan.
"Pada bulan lalu, dia juga telah beberapa kali keluar rumah tanpa memberitahu keluarga sehingga ke Kuala Pilah.
"Pada kejadian semalam pula, warga emas itu ada membawa dokumen pengenalan diri namun tidak membawa telefon bimbit semasa keluar. Keluarganya juga telah berhubung dengan ahli keluarga yang lain tetapi masih gagal dikesan sehingga sekarang.
"Soal siasat awal, pengadu memaklumkan tiada sebarang permasalahan ataupun perselisihan faham dengan bapa mentuanya," katanya.
Chang Hook berkata, warga emas ini berbadan kecil, ketinggian lebih kurang 165 sentimeter, berkulit cerah, rambut beruban pendek, mata kuyu dan terdapat bintik hitam di muka serta sedikit bongkok.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai orang hilang ini diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!