CLERMONT - Seorang wanita di Ohio, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun selepas dia tergamak menyebabkan kematian anaknya sendiri.
Peguam pendakwa daerah Clermont, Mark Tekulve memaklumkan Tamara Banks, 41, mengaku bersalah membunuh secara tidak sengaja anak perempuannya yang berusia empat tahun.
Hukuman ke atas suaminya, Christopher Hoeb, 53, pula akan diputuskan pada 11 Jun ini.
Menurut Tekulve, kedua-dua defendan merupakan ibu bapa kandung kepada mangsa yang ditemui tidak sedarkan diri pada 21 Januari 2022.
Pasangan itu kemudiannya menghubungi talian kecemasan dan dibawa ke hospital di mana dia diisytiharkan meninggal dunia.
"Siasatan mendapati mereka memberikan minuman berkarbonat melalui botol kepada mangsa hingga menyebabkan dia kehilangan hampir kesemua giginya.
"Kedua-dua defendan juga tidak memberikan jagaan yang betul dan nutrisi sihat kepada anak mereka hingga meragut nyawanya," jelasnya.
Laporan koroner mendapati kematian mangsa berpunca daripada diabetic ketoacidosis atau tahap gula terlalu tinggi.
"Dia menghidap diabetes yang tidak didiagnos dan dirawat untuk tempoh yang lama. Mereka tidak layak menjadi penjaganya. Banks dan Hoeb wajar dihukum penjara," kata Tekulve lagi. - Agensi