WASHINGTON - Unit kereta kebal dan artileri rejim Zionis terus membedil Rafah, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memaklumkan sekutu kuatnya itu menawarkan peta jalan baharu ke arah pelaksanaan gencatan senjata.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga menegaskan pasukan tentera mereka akan tetap meneruskan perang sehingga mencapai kesemua matlamat termasuk menghapuskan Hamas.
Kenyataan angkuh Netanyahu bagaimanapun mencetuskan tanda tanya tentang kesungguhan tawaran tempoh bertenang yang diumumkan Biden dan dipertimbangkan secara positif oleh Hamas.
Menerusi pengumuman pertama yang memberi isyarat untuk menghentikan perang genosid itu, Biden memberitahu tawaran tiga peringkat akan bermula dengan fasa enam minggu yang bakal menyaksikan pengunduran tentera Israel dari kesemua kawasan di Genting Gaza.
Ia juga melibatkan pembebasan sejumlah tawanan termasuk wanita dan warga emas di bawah perjanjian pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin.
"Ia akan disusuli dengan rundingan untuk melaksanakan gencatan senjata secara kekal. Tempoh bertenang akan diteruskan sementara perbincangan masih berjalan.
"Sudah tiba masanya untuk menamatkan peperangan ini,” jelas Biden yang menggesa Hamas supaya menerima tawaran tersebut.
Perkembangan terbaharu itu turut disambut baik komuniti antarabangsa kerana ia memberi harapan untuk mencari jalan keluar yang seimbang dan realistik bagi menghentikan pertumpahan darah yang berlarutan lebih tujuh bulan di Gaza.
Sementara itu, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh mndakwa rejim Zionis sengaja melengah-lengahkan proses rundingan gencatan senjata kerana mahu meneruskan perang genosid.
"Israel menggunakan rundingan untuk mengaburi mata komuniti antarabangsa terhadap kezaliman yang dilakukan mereka ke atas penduduk Palestin,” tegasnya.
Ofensif ganas sejak lebih tujuh bulan lalu telah mengorbankan kira-kira 36,224 penduduk Palestin selain mengakibatkan kemusnahan dahsyat di enklaf tersebut. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!