Saran pilih syarikat PJH untuk guna kuota visa mujamalah

Iklan
Rakyat Malaysia disaran memilih syarikat PJH sekiranya berhasrat menggunakan kuota visa mujamalah.

MAKKAH - Rakyat Malaysia disaran memilih syarikat pengelola jemaah haji (PJH) berdaftar dengan Tabung Haji (TH) sekiranya berhasrat melaksanakan haji di bawah peruntukan kuota visa mujamalah.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ini bagi mengelakkan timbul sebarang isu termasuk penipuan atau cubaan manipulasi di sebalik pemberian kuota visa tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan bakal-bakal haji yang sudah atau ingin mendaftar untuk menunaikan haji supaya memilih syarikat-syarikat pelancongan yang dilesenkan oleh Tabung Haji dan digelar sebagai syarikat PJH.

"Ini kerana semua syarikat yang berdaftar dengan TH telah disaring dengan teliti dan telus bagi memastikan mempunyai keupayaan kewangan selain rekod pengurusan jemaah yang baik serta berwibawa," katanya kepada petugas media baru-baru ini.

Iklan

Menurutnya, dengan proses pelesenan ini, TH memberi jaminan bahawa bakal haji boleh yakin yang urusan haji mereka selamat dan kebajikan akan terjaga.

Syed Saleh

Sebagai rekod, permohonan visa mujamalah tidak melibatkan Tabung Haji dan kuota boleh dipohon agensi umrah dan haji swasta dengan keputusan pengeluaran tertakluk kepada pihak Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Iklan

Pakej haji diuruskan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sepenuhnya dan agensi yang menerima kuota tersebut perlu memilih perkhidmatan pengurusan ground services daripada kementerian berkenaan.

"Secara asasnya, visa mujamalah ini dikeluarkan kepada orang-orang kenamaan atau orang-orang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat. Mereka boleh memohon kepada kerajaan Arab Saudi.

"Visa mujamalah ini juga adalah jemputan-jemputan daripada kerajaan berkuasa Arab Saudi kepada mereka di Malaysia. Contohnya kementerian tertentu di Arab Saudi menjemput kementerian yang sama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, visa mujamalah ini tidak boleh dijual beli kerana ketika memohon visa tersebut, ia perlulah dibuat oleh individu yang akan datang mengerjakan ibadah haji dan bukannya orang lain.

"Sama ada, ini boleh dijual beli, sudah tentunya apabila dimohon, ia perlulah dengan siapa yang hendak pergi. Tak bolehlah apabila sudah dapat, dijual beli pula kepada orang lain, inilah yang berlaku sekarang ini, mereka jual harga visa tersebut, ada yang harga tinggi.

"Sepatutnya mereka memohon dalam sistem dan perlu membuat pembayaran tertentu untuk membeli pakej yang disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!