DONALD Trump mencipta sejarah Amerika Syarikat (AS) apabila menjadi bekas Presiden pertama disabit bersalah oleh juri Manhattan atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan berkaitan pembayaran wang untuk menutup mulut kepada bekas bintang porno, Stormy Daniels.
Bilionair hartanah itu kini menyertai senarai rakan sejawatannya yang lain selepas mereka juga didapati bersalah atas pelbagai dakwaan jenayah termasuk kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Berikut antara negara yang mensabitkan bekas pemimpin mereka.
1. Bekas Presiden Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner
Bekas pemimpin wanita ini memegang tampuk pemerintahan dari 2007 hingga 2015. Beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dilarang memegang jawatan pejabat awam pada 2022 selepas disabit bersalah dalam kes penipuan melibatkan berbilion dolar. Fernandez de Kirchner yang mahu mengemukakan rayuan terus memegang jawatan sebagai Naib Presiden sehingga penggal perkhidmatannya berakhir pada Disember 2023.
2. Presiden Brazil, Lula da Silva
Beliau yang dipenjarakan pada 2018 atas kes rasuah pernah mentadbir Brasilia pada 2003 hingga 2010. Pertuduhan itu bagaimanapun dibatalkan pada 2021 yang membolehkannya bertanding semula untuk merebut jawatan Presiden pada 2022.
3. Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak
Pemimpin diktator ini bersama dua anak lelakinya dihukum penjara tiga tahun pada 2015 atas kesalahan menggelapkan dana negara. Mubarak yang digulingkan ketika gelombang Arab Spring pada 2011 juga disabit bersalah menghasut pembunuhan ke atas penunjuk perasaan. Tuduhan itu bagaimanapun digugurkan dan beliau dibebaskan pada 2017. Tiga tahun selepas itu Mubarak meninggal dunia.
4. Bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac
Beliau yang berkhidmat dari 1995 hingga 2007 dijatuhi hukuman dua tahun penjara yang ditangguhkan pada 2022 selepas disabit bersalah atas kes rasuah. Chirac bagaimanapun meninggal dunia pada 2019. Penggantinya, Nicolas Sarkozy (2007-2012) pula didakwa bersalah merasuah hakim bagi mendapatkan akses maklumat sulit berhubung perbicaraan lain. Beliau dihukum penjara dua tahun yang ditangguhkan dan dikenakan tahanan rumah yang dikekalkan walaupun Sarkozy memfailkan rayuan.
5. Bekas Presiden Israel, Moshe Katsav
Pada 2011, beliau dihukum penjara tujuh tahun selepas disabit bersalah memperkosa seorang pembantu ketika bergelar menteri pada 1990-an selain melakukan gangguan seksual terhadap dua lagi wanita ketika bergelar Presiden (2000-07). Pemimpin ini meringkuk di dalam penjara selama lima tahun sebelum dibebaskan dengan parol pada 2016.
Selain itu, bekas Perdana Menteri, Ehud Olmert (2006-09) juga dijatuhi hukuman penjara 27 bulan pada 2016 berhubung kes penipuan, namun dibebaskan setahun selepas itu.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pula disabit bersalah pada 2019 di bawah siri pertuduhan termasuk penipuan, rasuah dan pecah amanah. Perbicaraannya masih berlangsung.
6. Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi
Beliau yang meninggal dunia pada usia 86 tahun pada 2023 berdepan lebih 30 kes jenayah. Pada 2013, Berlusconi yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri sebanyak empat kali ini disabit bersalah atas kesalahan membayar khidmat seks melibatkan gadis bawah umur, namun sabitan itu dibatalkan setahun selepas itu. Pertuduhan lain termasuk mengelak cukai, merasuah hakim dan rasuah juga digugurkan. Pemimpin itu dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 12 bulan di bawah penalti untuk warga emas berhubung kes penipuan cukai pada 2014 melibatkan syarikat media miliknya.
7. Bekas Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi
Ikon demokrasi ini digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2021. Beliau disabitkan dengan beberapa pertuduhan termasuk rasuah, penipuan undi dan melanggar undang-undang rahsia negara. Suu Kyi menjalani hukuman penjara selama 27 tahun di bawah gabungan kesemua kes, namun dipindahkan ke tahanan rumah pada April lalu susulan gelombang haba ekstrem yang mengancam kesihatannya.
8. Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan
Bekas bintang kriket ini sedang menjalani hukuman penjara atas sabitan kes rasuah dan membocorkan rahsia negara. Pertuduhan itu dikenakan ke atas beliau pada Januari lalu menjelang Pilihan Raya Umum pada April yang turut ditentang penyokongnya kerana didakwa bermotifkan politik.
9. Bekas Presiden Peru, Alberto Fujimori
Beliau yang mentadbir negara itu pada 1990 hingga 2000 dibebaskan dari penjara pada Disember 2023 setelah menjalani hukuman penjara selama 15 tahun atas kesalahan pencabulan hak asasi manusia dan salah guna kuasa. Beliau turut didakwa dengan kes rasuah, penyelewengan dan membenarkan pembunuhan dan penculikan ke atas pejuang gerila serta aktivis antikerajaan.
10. Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma
Pemimpin ini memegang kuasa pada 2009 sebelum terpaksa berundur kerana terpalit kes rasuah pada 2018. Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 bulan pada 2021 kerana menghina mahkamah setelah Zuma enggan memberikan keterangan semasa siasatan rasuah melibatkan pentadbirannya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!