Koleksi lengkap sepanjang hayat

Iklan
Gambar hiasan. Foto123RF

TIDAK semua pengarang berkesempatan mengumpulkan karya seluruhnya dalam sebuah kumpulan. Daripada permulaan berkarya hingga mutakhir, dikumpulkannya dalam sebuah penerbitan. Biasanya dilakukan dalam genre puisi, cerpen atau drama tetapi langka dalam novel.

Penyair besar tanah air, Muhammad Haji Salleh telah sedia melakukannya. Dengan tiga jilid yang dijudulkan dengan Jatuh ke Laut Menjadi Pulau (2014) menghimpunkan kira-kira 1,000 putik puisi.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, penyair agung Singapura, Suratman Markasan dengan Kembali ke Akar Melayu Kembali ke Akar Islam (2009) telah mengumpulkan sebanyak 785 sajak yang dihasilkannya sepanjang 60 tahun berkarya.

Di Indonesia yang dapat dikesan telah dilakukan oleh Goenawan Mohamad yang menerbitkan Sajak-sajak Lengkap Goenawan Mohamad (2001).

Iklan

Ternyata bahawa penyair Indonesia ini terlebih awal dan terdahulu mengerjakan himpunan karya sepanjang hayatnya.

Ketiga-tiga penyair itu telah menerbitkan seluruh puisi semasa hayat masih ada. Ertinya ada kesedaran melakukan kompilasi tersebut pada penghujung pengkaryaan. Sudah tentu hal itu adalah usaha yang patut dihargai, dipuji dan diikuti.

Iklan

Keris Mas dikumpulkan cerpen-cerpennya dengan judul Kumpulan Cerpen Keris Mas yang telah menghasilkan sebanyak 82 cerpen sepanjang hayatnya. Usaha itu dilakukan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.

Di Barat, usaha penerbitan sedemikian sudah lama dilakukan. Pengarang-pengarang besar dunia seperti Shakespeare pernah diterbitkan Complete Works of William Shakespeare yang menghimpunkan kesemua 38 buah dramanya. Moliere dari Perancis juga diterbitkan kesemua dramanya sebanyak 26 buah dalam Complete Works of Moliere.

Dalam genre kritikan dan teori sastera, semua dunia mengenal nama I.A.Richards, orang yang mempelopori kritikan praktis, tulisannya telah dihimpunkan oleh seorang profesor British terkenal John Constable dengan Complete Works of I.A. Richards.

Dapat dibuktikan bahawa usaha menerbitkan karya lengkap untuk sepanjang hayat selain sebagai sebuah catatan atau dokumentasi, juga sebagai suatu fenomena dan tradisi sastera yang menunjukkan kekuatan dan warna tamadun sesuatu bangsa itu.

Himpunan karya tersebut penting dalam mengikuti perkembangan pe-nulisan seseorang. Di samping dapat mengikuti proses penciptaannya, motivasi dan dorongannya, dapat juga memastikan tujuan dan motif kepe-ngarangannya. Ertinya dapat menilai pencapaiannya dari zaman ke zaman.

Puisi Kembali ke Akar Melayu Kembali ke Akar Islam (2009) koleksi keseluruhan puisi yang dihasilkan Suratman Markasan itu, saya bertindak sebagai penulis kata pengantarnya, membaca dan menelitinya bagaikan mendepani sebuah kebudayaan yang masih hidup dengan nuansa tentang kegelisahan-kegelisahan sebuah lautan yang maha besar deburannya tetapi tidak menempias dan menggelombangkan.

Dunia yang digambarkan Suratman Markasan suatu tanggapan realiti tetapi dilakukannya secara bayangan dan penuh dengan kontemplasi segala gejala pemikiran dalaman orang Melayu Singapura, yang kadang-kadang tidak diucapkan, lalu penyairnya membina mitos-mitos orang Melayu yang hilang dalam perjalanan sejarahnya.

Kita sedar tidak semua orang memiliki kesempatan untuk menerbitkan seluruh karya dalam sebuah koleksi. Kelihatannya hanya pengarang-pengarang tertentu yang bernasib baik atau mendapat peluang keemasan kerana wujudnya wasilah atau hubungan atau mediasi yang baik dengan pihak penerbit.

Sukar untuk mendapatkan penerbit yang bersedia menerbitkannya. Malah, setakat ini hanya Dewan Bahasa dan Pustaka menunjukkan iltizamnya untuk berbuat demikian.

KARYA PILIHAN

Sebuah lagi penerbitan yang hampir sinonim dengan penerbitan lengkap sepanjang hayat ialah menerbitkan karya pilihan atau hanya karya terpilih daripada karya terbaik dihimpunkan dalam sesebuah penerbitan.

Sebagai contoh, saya mengenali penyair Leo AWS yang telah menghasilkan 34 buah kumpulan puisi, salah satu daripadanya ialah Sajak Kebun Lada yang pernah diterbitkan oleh penerbit saya sendiri Penerbit Karyawan 1990.

Daripada sekian banyak kuntum puisi itu, Leo AWS boleh memilih kira-kira 100 puisi yang terbaik dalam pandangan beliau sebagai penciptanya. Kemudian diterbitkan dalam sebuah kompilasi sendiri. Judulnya kira-kira begini: ‘Puisi Pilihan Leo AWS’.

Dalam konteks begini, ramai pengarang veteran kita boleh memilih karyanya dan diterbitkan dalam judul karya pilihan. Shahnon Ahmad yang dihimpunkan karyanya oleh Mohd Yusof Hassan, terdiri daripada pelbagai genre sastera dalam Koleksi Terpilih Shahnon Ahmad, 1995.

Arena Wati yang diberi gelar Sasterawan Negara kelima 1987 pada tahun 1996 menerbitkan Koleksi Terpilih Arena Wati yang memuatkan karya-karya pilihan cerpen, fragmen novel dan esei yang mewakili peribadi sebenar Arena Wati dalam dunia kreatif.

Dalam koleksi karya pilihan, tidak hanya dalam sesebuah genre sastera sahaja, malah ia dibolehkan mengandungi pelbagai genre sastera.

Keinginan menerbitkan sebuah karya sepanjang hayat atau karya pilihan, saya kira secara naluriahnya dimiliki oleh semua orang yang bernama pengarang. Cuma yang menjadi halangannya ialah rumah penerbitan yang bersedia menerbitkannya. Biasanya, penerbitan karya sedemikian memerlukan biaya yang besar juga.

Pengarang-pengarang Perancis menubuhkan salon sastera dalam kalangan mereka sendiri. Dengan mengumpulkan dana sendiri atau memohon bantuan daripada kerajaan, mereka dapat membiayai untuk menerbitkan karya complete of work atau selected texts itu.

Berpandukan contoh sedemikian, pengarang-pengarang kita juga boleh menubuhkan kelab-kelab sastera yang berfungsi ke arah untuk menerbitkan karya kompilasi atau karya terpilih itu.

Malah, persatuan penulis yang sedia wujud boleh menggerakkan ke arah penerbitan sedemikian. Misalnya, Persatuan Penulis Johor mengusahakan Karya Lengkap Zam Ismail, Persatuan Penulis Kelantan dengan Karya Pilihan Norhisham Mustaffa, Persatuan Karyawan Perak dengan Karya Pilihan Malim Ghozali PK dan Dewan Persuratan Melayu Pahang mengumpulkan Karya Lengkap Mohd Mansur Abdullah. Begitulah seterusnya kepada persatuan dan kelab-kelab penulis lainnya.

Manfaatnya juga kepada khalayak sastera. Mereka dapat membaca dan mengenal sosok seseorang pengarang ternama itu. Dengan mudahnya mereka dapat mengikuti perkembangan penulisan seorang pengarang tersohor. Juga memudahkan kepada anak-anak muda yang mahu berjinak-jinak dengan sastera, memilih idola untuk membina diri penulisannya. Pengarang yang menjadi besar, lazimnya diajar oleh seseorang pengarang ternama.

Seandainya penerbitan karya lengkap atau karya pilihan dapat digerakkan dalam sastera Melayu, sesungguhnya ia adalah sebuah perkembangan baharu yang menarik, progresif dan dinamik. Akhirnya ia akan menjadi ikutan dan tradisi dalam sejarah sastera Melayu pascamoden.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.