IPOH - Komitmen guru antara faktor kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian memperoleh keputusan cemerlang iaitu 12A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Muhammad Ifwat Shafie, 18, yang memperoleh semua A dalam setiap mata pelajaran, menyifatkan komitmen guru-guru di sekolahnya merupakan antara penyumbang utama kepada kejayaan tersebut.
Menurutnya, setiap guru sentiasa berusaha mencari kelainan untuk memastikan anak didik mereka memahami setiap subjek yang diajar.
"Sebenarnya pengorbanan guru-guru yang tak pernah berputus asa untuk mengajar kami menjadi faktor kepada kejayaan ini. Mereka seolah-olah tak ada cuti.
"Sentiasa buat kelas tambahan untuk kami. Cara cikgu mengajar itu membuatkan subjek yang susah menjadi mudah,” katanya pada Jumaat.
Muhammad Ifwat berkata, faktor persekitaran juga membantu dia memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM.
Menurutnya, membaca surah Yasin bersama rakan-rakan menjadi amalannya setiap hari selain dia mengambil masa membaca beberapa surah lain setiap kali selepas solat fardu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!