[VIDEO] Hidangan baung masak tempoyak jadi buruan musim cuti sekolah

Iklan

HULU TERENGGANU - Hidangan ikan baung masak tempoyak merupakan menu wajib dicuba bagi pengunjung yang melalui Kampung Basung, di sini untuk ke destinasi tumpuan pelancong di Tasik Kenyir.

Pemilik restoran Mr Baung, Latifah Abdullah, 53, berkata, sepanjang musim cuti persekolahan kali ini, premisnya menerima peningkatan jumlah pelanggan sehingga mencecah 1,000 orang sehari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, disebabkan sambutan hangat itu mereka perlu menambah kuantiti hidangan tersebut daripada 50 kilogram (kg) pada hari biasa kepada 200kg.

Latifah menunjukkan hidangan baung masak tempoyak yang siap dimasak dan sedia dihidangkan kepada pelanggan. Ikan baung masak tempoyak di restoran Mr Baung yang beroperasi di Kampung Basung, Hulu Terengganu tidak pernah lekang daripada menerima pelanggan sepanjang musim cuti sekolah.

"Kita anggarkan sekitar 700 hingga 1,000 orang pelanggan yang datang ke restoran ini setiap hari sepanjang musim cuti sekolah ini berbanding pelanggan diterima sekitar 300 hingga 500 orang pada hari biasa.

Iklan

"Sebab itulah kita tambah juga menu berkuah yang lain. Macam hari biasa kita buat empat hingga lima jenis sahaja, tetapi sepanjang musim cuti ni kita buat lapan jenis termasuk gulai ayam, gulai kambing dan beberapa lauk lagi untuk tampung jumlah pelanggan yang ramai," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini pada petang Jumaat.

Menurut Latifah, restoran itu beroperasi selama 15 tahun sejak 2009 dan masih mengekalkan harga yang berpatutan bagi setiap makanan dan minuman.

Iklan

"Restoran ini pada mulanya hanya menjual pisang goreng kemudian jual durian dan buah-buahan sebelum ada yang minta kita jual nasi berlauk.

Fatin Azuin tidak menang tangan menyediakan ikan baung masak tempoyak yang menjadi kegemaran pelanggan apabila berkunjung ke restoran itu.

"Memandangkan di kampung ini terkenal dengan baung masak tempoyak dan ikan lampam, kita pun cuba jual. Lama kelamaan ramai yang suka masakan kita dan kita usaha bina restoran ini," katanya yang mempunyai seramai 15 pekerja.

Sementara itu, menurut tukang masak, Fatin Azuin Abdullah, 33, resipi istimewa baung masak tempoyak yang lebih enak dimakan bersama budu itu diolah daripada pemilik restoran dan disuaikan mengikut sukatan bagi masakan dalam kuantiti banyak.

"Pada mulanya kita fokus pada ikan baung sahaja kemudian kita tambah menu ikan lain seperti patin, lampam dan sebarau serta diselang seli dengan ikan perai dan jelawat.

"Kadang-kadang kita ada juga sediakan menu ikan kelah dan ikan bermusim iaitu ikan-ikan besar seperti ikan temoleh yang hanya boleh didapati ketika musim tengkujuh," katanya.

Fatin Azuin berkata, harga ditetapkan bagi menu patin dan baung bergantung kepada saiz iaitu antara RM9 dan RM10 berbeza berbanding ikan saiz besar yang lain.

"Kalau ikan sebarau dalam harga RM15 hingga RM30 bergantung saiz. Kalau ikan kelah pula serendah RM30 hingga RM50 atau RM60.

Sebahagian pelanggan yang ingin mencuba hidangan istimewa ikan baung yang enak dicicah dan dimakan bersama budu.

"Untuk ikan temoleh yang hanya ada pada musim tengkujuh sahaja, harganya antara RM50 hingga RM60 seketul," katanya.

Menurutnya, sebanyak tiga restoran di sekitar kawasan itu yang menyajikan ikan baung dan patin sebagai hidangan istimewa, bekalan ikan segar diperoleh dari Tasik Kenyir.

"Keistimewaan hidangan di sini daripada ikan segar yang dibela di sangkar Tasik Kenyir, kalau ikan liar pun ikan yang berasal dari lokasi yang sama.

"Macam ikan temoleh tu antara jenis ikan susah nak dapat kerana hanya ada di Tasik Kenyir dan di kawasan tertentu di Pahang," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!