SHAH ALAM - Biasanya ibu bapa hadir ke program sekolah untuk melihat persembahan pelajar namun berbeza dengan Aida Munira Abdul Bakhtiar, 34, apabila tidak melepaskan peluang untuk menyertai anak perempuannya menari di pentas.
Aida Munira berkata, penyertaannya dalam persembahan tersebut adalah untuk memberi dorongan dan suntikan semangat kepada anak sulungnya itu yang kini berusia sembilan tahun.
Katanya, dia percaya untuk membina keyakinan diri seseorang itu perlu berani ke depan misalnya menyertai persembahan atau aktiviti sekolah.
"Semasa kecil saya sudah lalui perkara itu, hendak bina keyakinan diri memang susah jadi caranya adalah dengan menyertai banyak pertandingan. Perkara yang sama juga saya terapkan kepada anak.
"Pada awalnya, tidak dinafikan agak sukar untuknya berlatih tarian itu apatah lagi hanya mengambil masa lima hari namun saya beritahu dia jangan putus asa, mama ada di sebelah dan akhirnya dia berjaya," ujarnya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Aida Munira di TikTok, kelihatan ibu dan anak itu membuat persembahan sempena sambutan hari raya anjuran pihak sekolah.
Video itu memaparkan dua beranak tersebut memakai pakaian tradisional Melayu dan mempersembahkan tarian sambil diiringi lagu irama Melayu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Nirmala.
Video itu mendapat lebih 60,000 tanda suka di aplikasi TikTok.
Tambah Aida Munira, dia berasa gembira kerana persembahan tersebut mendapat perhatian daripada ibu bapa dan guru di sekolah tersebut.
"Anak belajar di sekolah antarabangsa, jadi saya fikir inilah peluang untuk mengetengahkan budaya orang Melayu memandangkan pelajar di sekolah itu datang dari pelbagai negara.
"Lagipun, sekolah anak saya memang menggalakkan ibu bapa membuat persembahan dan memakai pakaian mengikut tema. Contohnya Tahun Baharu Cina kita pakai Cheongsam," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!