Jabatan Perkhidmatan Veterinar rangka pelbagai strategi

Iklan
Dr Quaza Nizamuddin - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABUL RAHIM

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) telah merangka pelbagai strategi termasuk memberi lebih fokus terhadap Program Integrasi Lembu di Ladang Sawit dan Program Pembangunan Industri Tenusu Negara sebagai usaha mengurangkan jumlah import agromakanan terutama berasaskan ternakan seperti daging dan susu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pendekatan itu dilihat membantu meningkatkan pengeluaran kedua-dua sektor makanan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan pengeluaran daging dan susu secara tidak langsung memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati bahan mentah segar pada harga yang berpatutan.

"Kita sebenarnya berdepan dengan dilema besar, contohnya pengguna mahukan harga murah untuk daging segar tetapi disebabkan kos pengeluaran yang tinggi, kita tidak boleh memberikan harga murah. Usaha-usaha perlu diambil untuk mengurangkan kos pengeluaran.

Iklan

"Sama juga dengan susu segar, kita tidak dapat menawarkan harga murah serta tidak mampu bersaing dengan negara seperti Australia yang ada kekuatan dari segi cuaca, baka sesuai dan sebagainya.

"Jadi, kalau sebut tentang harga murah, kita hanya dapat nikmati produk import kerana faktor-faktor yang disebut tadi itulah,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, atas dasar dan kesedaran itu, pihaknya komited untuk memperkukuhkan lagi program ternakan lembu secara integrasi di ladang kelapa sawit dan program pembangunan industri tenusu untuk mengeluarkan daging dan susu.

Sediakan polisi khas

Dr Quaza Nizamuddin berkata, selaras dengan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memikirkan untuk menyediakan insentif bersesuaian bagi menggalakkan lebih banyak syarikat terlibat dalam program integrasi lembu di ladang kelapa sawit serta di dalam industri pengeluaran susu.

"Sekarang ini, ladang/syarikat dan individu yang terlibat di bawah program integrasi adalah 700,000 hektar ladang kelapa sawit. Cuba bayangkan kalau digandakan jumlah itu kepada 1.5 juta hektar, berapa banyak hasil dapat dikeluarkan?

"Dari segi matematiknya begitulah dan kita harap dengan usaha berterusan yang dibuat itu dapat menggalakkan lebih banyak syarikat yang terlibat sekaligus dapat meningkatkan pengeluaran daging dan susu negara,” katanya.

Dr Quaza Nizamuddin ketika ditemuramah wartawan Sinar Harian di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Selain memberi fokus kepada program integrasi itu, menurut Quaza Nizamuddin, pihaknya merangka beberapa strategi lain antaranya memperkasakan projek lembu sado dan Skim Rezeki Ternak.

"Baru-baru ini, kita telah menghantar pegawai ke Jepun untuk melihat teknologi penternakan lembu wagyu dan belajar bagaimana ia dikeluarkan.

"Tujuan kita untuk mempelajari teknologi tersebut untuk kita gunakan pula bagi projek lembu sado ini,” katanya.

Menurutnya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub ingin melihat Skim Rezeki Ternak diperkenalkan pada tahun ini supaya selain membantu peserta meningkatkan pendapatan ia juga dapat menambahkan lagi pengeluaran daging di dalam negara.

Beliau berkata, Program Pembangunan Industri Tenusu Negara yang merupakan satu inisiatif di bawah sumber kekayaan baharu (SKB) yang dilaksanakan tahun lalu akan diteruskan melalui pembangunan lembah tenusu di seluruh negara.

Jelasnya, fasa permulaan bagi program tersebut akan memberi fokus kepada pembangunan lembah tenusu Muadzam yang melibatkan usahawan berskala besar tenusu dan penternak susu kecil di Pahang dan sebahagian di Negeri Sembilan dan Johor.

Cegah, hapus penyakit haiwan zoonotik

Sementara itu, Dr Quaza Nizamuddin berkata, di sebalik pelbagai strategi untuk meningkatkan pengeluaran agromakanan, jabatan diterajuinya yang baharu menyambut ulang tahun ke-125 tahun September lalu tetap memberikan tumpuan kepada fokus utama iaitu mengawal, mencegah dan menghapuskan penyakit haiwan dan zoonotik.

Katanya, aspek itu sangat penting kerana jika tidak dikawal lebih awal, ia boleh mendatangkan kerugian besar kepada industri makanan khususnya melibatkan agromakanan.

"Penyakit haiwan seperti penyakit kuku dan mulut, African Swine Fever (ASF) boleh beri kesan ekonomi dan pendapatan.

"Jadi, apabila haiwan yang diternak terjejas dengan penyakit berkenaan akan mengakibatkan berlaku kenaikan harga kerana bekalan tidak cukup.

"Berkenaan penyakit anjing gila atau Rabies, data menunjukkan 95 peratus daripada penyakit Rabies adalah daripada gigitan anjing, jadi pentingnya kita kawal penyakit berpunca daripada haiwan supaya ia tidak merebak kepada manusia,” katanya.

Menyentuh mengenai kejayaan yang dicapai jabatan itu sepanjang tempoh perkhidmatan sehingga kini, katanya banyak pencapaian yang boleh dibanggakan antaranya industri ternakan ayam, pengeluaran telur ayam dan industri babi mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus.

"Selain keluaran untuk kegunaan dalam negara, kita juga berjaya mengeksport bekalan itu ke luar negara.

"Kejayaan lain ialah program permanian beradas melahirkan baka hybrid lembu sado,” katanya.

Katanya, kejayaan lain yang boleh dibanggakan ialah Akta Makanan Haiwan 2019 untuk mengawal selia kualiti makanan haiwan dengan memastikan tiada pencemaran kimia dan ubat.

Akta Kebajikan Haiwan 2015 menunjukkan impak yang tinggi kerana kes aduan penganiayaan dan kezaliman haiwan menurun dengan ketara pada tahun 2019 iaitu 40 peratus berbanding tahun 2018.

Manakala Akta Rumah Penyembelihan(Penswastaan) 1993 adalah untuk memastikan daging yang dihasilkan adalah bersih dan selamat untuk dimakan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar komited menyediakan perkhidmatan cemerlang kerana setiap perkhidmatan itu memberi kesan langsung kepada rakyat.