Pasar Siti Khadijah tumpuan pelancong saji makanan enak

Iklan
Pelbagai jenis kuih dijual sejak awal pagi di Pasar Siti Khadijah

KOTA BHARU - Pelbagai jenis makanan enak menjadi antara faktor utama pelancong domestik memenuhi Pasar Siti Khadijah pada awal pagi sempena cuti persekolahan sejak minggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai yang mengunjungi Pasar Siti Khadijah itu kerana mahu menikmati menu Kelantan dan merasai sendiri suasana di pasar ikonik di negeri ini.

Iklan
Iklan

Pelancong dari Padang Serai, Kedah, Siti Hawa Khidil, 41, berkata, kepelbagaian makanan enak dan suasana berbeza dari tempatnya antara faktor dia dan keluarga memilih Kelantan sebagai destinasi pelancongan.

Siti Hawa ditemui ketika sedang membeli akok di Pasar Siti Khadijah bersama suami dan tiga anak berusia antara tiga hingga 14 tahun.

Iklan

Menurut Siti Hawa, mereka juga akan pergi ke Rantau Panjang untuk mendapatkan makanan bercita rasa Thailand seperti somtam, tomyam dan menu lain yang wajib dicuba apabila melancong di negeri ini.

Siti Hawa (tengah) dan keluarga membeli akok di Pasar Siti Khadijah

Mereka turut pergi ke Pantai Senok yang dikenali sebagai Pantai Pulau Nami untuk menikmati angin pantai yang damai di situ.

Iklan

Sementara itu, pelancong dari Pulau Pinang, Hamizah Said, 40, turut memilih Kelantan kerana mahu menikmati makanan tempatan di negeri ini.

Hamizah yang datang bersama tiga lagi ahli keluarganya berada selama dua hari di Kelantan dan antara menu pilihannya ialah etok pelbagai perisa serta nasi tumpang.

Dia datang awal pagi ke Pasar Siti Khadijah kerana berhasrat membeli dua makanan itu selain berjalan di sekitarnya untuk melihat pemandangan dan suasana pasar.

"Sebelum ini kami memang selalu menikmati nasi tumpang di negeri lain tetapi hari ini saya mahu mencari yang asli dari Kelantan kerana suka dengan rasanya," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!