Kes pukul pemandu OKU: Segera siasat, dakwa jika bersalah

Iklan
Nie Ching (kanan) ketika menyempurnakan pelepasan Larian Amal Komuniti Veg-Run di Puteri Harbour, Iskandar Puteri pada Ahad

ISKANDAR PUTERI - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu segera menyiasat kes pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa dipukul pengawal peribadi rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur Selasa lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, sekiranya dakwaan terhadap polis pengiring terbabit dapat dibuktikan benar-benar bersalah perlu dihadapkan ke mahkamah.

Iklan
Iklan

"Ini supaya rakyat jelata faham bahawa di Malaysia adalah sebuah negara yang ada Perlembagaan, undang-undang yang akan dihormati dan juga diamalkan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata demikian kepada pemberita sebelum menyempurnakan pelepasan Larian Amal Komuniti Veg-Run di Puteri Harbour di sini pada Ahad.

Iklan

Turut hadir Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Pada Rabu media melaporkan, pemandu kenderaan e-hailing terbabit mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.

Iklan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, individu berkenaan, yang juga OKU telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.

Rusdi dalam kenyataan yang sama berkata, polis Kuala Lumpur telah menerima satu laporan polis, pada 28 Mei lalu pada jam 1 petang oleh pengadu yang merupakan seorang pemandu e-hailing.

Beliau berkata, pengadu tersebut mendakwa telah diserang oleh seorang individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.

Susulan itu pada Jumaat, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh kejadian itu dan mahu tindakan undang-undang diambil demi memberi keadilan kepada mangsa.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, pihaknya menyokong kenyataan Tunku Mahkota Ismail itu yang disifatkan bijaksana dan menunjukkan PDRM akan menjalankan satu siasatan yang telus.

"Saya rasa itu yang paling penting dan saya rasa kenyataan PDRM juga telah menunjukkan bahawa mereka akan buat satu siasatan yang telus.

"Jadi saya harap tak perlulah rakyat jelata untuk buat apa-apa sangkaan atau jangkaan, yang paling penting saya harap pihak PDRM boleh siapkan siasatan secepat mungkin," ujarnya.

Seramai 3,479 orang menyertai program amal tersebut yang diadakan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dengan makan lebih banyak sayur-sayuran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!