SYARIKAT Jepun dalam sektor perkhidmatan di Malaysia dijangka meningkatkan pelaburan di negara ini.
Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur, Koichi Takano berkata, restoran Jepun mula menjalankan operasi di negara ini manakala beberapa firma guaman berganding bahu membuka cawangan dengan rakan kongsi Malaysia.
"Malaysia terus menjadi destinasi menarik bagi syarikat Jepun, dengan beberapa rancangan untuk berkembang dalam sektor perkilangan dan bukan perkilangan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya, kebanyakan syarikat perkilangan Jepun memberi tumpuan untuk mengembangkan pangkalan sedia ada berbanding melaksanakan pelaburan baharu manakala sektor perkhidmatan mempertimbangkan pelaburan baharu.
"Berdasarkan tinjauan Jetro, beberapa syarikat bukan perkilangan Jepun menyifatkan Malaysia sebagai hab serantau," katanya.
Persekitaran hidup di Malaysia, bencana alam yang kurang berbanding di negara lain, tahap penguasaan bahasa Inggeris yang baik dalam kalangan penduduk, kestabilan politik dan pintu masuk pasaran Islam merupakan antara pertimbangan responden dalam tinjauan itu, katanya sambil memaklumkan faktor sedemikian akan terus menarik minat syarikat Jepun.
Tinjauan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia (Jactim) dan Jetro baru-baru ini mendedahkan syarikat Jepun di negara ini meramalkan tahap keuntungan meningkat pada 2024 berikutan sentimen perniagaan yang semakin baik berbanding 2023.
Tinjauan itu turut menyatakan syarikat Jepun komited terhadap usaha penyahkarbonan.
Bagi menyokong pelaburannya, tinjauan itu juga mendapati syarikat Jepun sedang mencari layanan keutamaan dan kefleksibelan dari segi aspek penguatkuasaan dasar, terutama dalam kalangan syarikat yang telah berada di sini sejak sekian lama.
Syarikat-syarikat ini berusaha mendapatkan pelepasan cukai, insentif berkaitan tenaga hijau dan penguatkuasaan dasar secara berperingkat.
"Perusahaan kecil dan sederhana Jepun telah memberi sumbangan kepada masyarakat dan pembangunan ekonomi Malaysia. Mereka mahukan beberapa langkah keutamaan," katanya.
Jumlah pelaburan Jepun di negara ini sebanyak AS$1.863 bilion pada 2023 (AS$1=157 yen). - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!