LEGENDA olahraga Tan Sri Dr M Jegathesan berharap supaya pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy melakukan 'pecutan' terakhir mereka sehabis baik bagi melayakkan diri ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung Julai ini.
Beliau berkata, kedua-dua mereka tidak mempunyai pilihan lain atau terpaksa akur dengan keputusan hanya seorang sahaja bakal diterbangkan ke Paris menerusi slot wildcard seperti dimaklumkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini.
"Saya harap Azeem dan Shereen yang berpeluang di saat akhir ini untuk layakkkan diri dan ambil bahagian dalam Olimpik. Saya fikir mereka berdua mempunyai bakat masing-masing dan ia sudah pasti dapat memberikan nilai tambah sekiranya dapat menyertai Olimpik.
"Ada beberapa kejohanan lagi untuk disertai jadi itu sahaja peluang yang mereka ada. Perlu buktikan kemampuan mereka sehabis baik kalau mahu ke sana (Paris)," katanya ketika ditemui Bernama pada program Jom Jalan bersama Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), di sini hari ini.
Sebelum ini, KOM mengesahkan dua pelari pecut negara itu berada dalam senarai KOM untuk diberikan satu slot wildcard bagi mewakili Malaysia dalam temasya sukan terbesar dunia itu.
Jawatankuasa pemilihan KOM perlu menyerahkan nama seorang daripada mereka kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 8 Julai ini sekiranya kedua-dua atlet itu tidak dapat melayakkan diri secara merit.
Muhammad Azeem yang merupakan pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) melakukan catatan terbaiknya musim ini 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Los Angeles pada 27 April lepas.
Bagaimanapun, catatan tersebut masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Paris yang memerlukan beliau mencatat 10s untuk layak secara merit dalam acara tumpuan itu.
Dalam pada itu, Shereen yang juga pemegang rekod 400m kebangsaan menerusi catatan 51.80s perlu melakukan larian sekurang-kurangnya 50.95s jika mahu melayakkan diri ke Olimpik. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!