KOTA BHARU - Dua pembantu penguasa kastam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,300 daripada sebuah syarikat pengangkutan empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Faizul Mat Nasir dan Mohamad Rasul Mohd Zukri, kedua-keduanya yang berusia 34 tahun didakwa di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Mengikut pertuduhan, Mohd Faizul sebagai ejen di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) iaitu Pembantu Penguasa Kastam Gred WK19 yang bertugas di JKDM Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri suapan banyak RM1,750 daripada pemilik syarikat pengangkutan terbabit pada 16 Julai 2020.
Pada tuduhan berasingan, Mohamad Rasul pula juga sebagai seorang ejen Jabatan Kastam DiRaja Malaysia iaitu Pembantu Penguasa Kastam Gred WK 19 yang bertugas di jabatan sama didakwa secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri suapan wang RM2,400 pada 8 September 2020 dan RM150 pada 13 September 2020.
Suapan didakwa diterima melalui akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal iaitu tidak memeriksa lori-lori milik syarikat yang membawa keluar barang dari kargo KLIA.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum dua puluh tahun dan didenda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan itu, jika suapan itu boleh dinilai atau bersifat kewangan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Afif Ali, Maziah Mohaide dan Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi.
Pada prosiding itu, tertuduh-tertuduh melalui Adhwa’ Afiqah merayu jaminan dibenarkan dengan alasan mereka memberi kerjasama baik kepada SPRM dan menyerah diri sebelum dihadapkan ke mahkamah berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Faizul diikat jamin berjumlah RM7,000 manakala Mohamad Rasul sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mereka turut dikenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu saksi-saksi kes dan tidak mengakses komputer atau dokumen berkaitan selain menyerahkan pasport kepada pihak berkuasa.
Kes ditetapkan sebutan semula pada 21 Julai ini.
Kedua-dua tertuduh menjelaskan jaminan itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!