SHAH ALAM - Jenazah pendaki Malaysia, Zulkifli Yusof, 37, yang meninggal dunia semasa mendaki di Gunung Denali, Alaska selamat dibawa turun dari lokasi kejadian pada jam 8.30pagi, Sabtu waktu tempatan.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia dalam satu kenyataan berkata, perkembangan terbaru itu dimaklumkan Konsular Malaysia di Los Angeles dan pihak penyelamat yang berusaha membawa jenazah turun selepas terkandas ketika mendaki puncak tertinggi di benua Amerika Utara pada Rabu lalu.
Menurutnya, mangsa kini di tempatkan di sebuah hospital di Anchorage, Alaska dan akan menjalani proses selanjutnya.
"Pihak keluarga sedang berurusan dengan syarikat insurans dibantu wakil Konsular Malaysia untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.
"Sementara itu dua pendaki lain iaitu Illaham dan Zainudin masih berada di hospital untuk rawatan akibat ‘frostbite’.
"Wakil Kelab Jelajah Alpine iaitu Norsafrina Shamsir Md Nasir kini berada di Talkeetna Alaska untuk membantu urusan membawa pulang jenazah dan dua pendaki iaitu Illaham serta Zainudin,” menurut kenyataan berkenaan pada Ahad.
Zulkifli disahkan meninggal pada Rabu, jam 6 pagi waktu tempatan disyaki akibat 'high altitude cerebral edema' dan 'hypothermia' semasa berlindung di sebuah gua salji selepas terkandas di ketinggian 6,190 meter berhampiran puncak gunung berkenaan.
Dia bersama dua lagi rakannya iaitu Muhammad Illaham Ishak, 47, dan Zainudin Lot, 47, terperangkap akibat cuaca buruk ketika perjalanan turun dari puncak berkenaan pada Selasa.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia juga meminta agar pihak waris dan keluarga diberikan ruang privasi sebaiknya dalam tempoh yang sukar ini.
"Kami mohon agar rakyat Malaysia mendoakan agar semua urusan dipermudahkan,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!