Projek mitigasi banjir bukan 'gula-gula' PRK Sungai Bakap

Iklan
Zairil (kiri) memberi penerangan kepada Mohamad mengenai projek mitigasi banjir DUN Sungai Bakap yang akan dijalankan pada penghujung Jun ini.

NIBONG TEBAL - Kerajaan negeri menafikan projek-projek mitigasi banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan dijalankan pada penghujung Jun depan adalah 'gula-gula' untuk penduduk kawasan berkenaan yang bakal menghadapi pilihan raya kecil (PRK) tidak lama lagi.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan pelbagai projek pembangunan dan mitigasi di seluruh negeri termasuk tiga projek yang akan dilaksanakan di Sungai Bakap.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiga projek terbabit di bawah peruntukan Caruman Saliran Negeri akan disalurkan kepada agensi pelaksana iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan projek mitigasi banjir jangka pendek di Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau.

"Sebanyak 150 penduduk akan mendapat manfaat daripada jumlah pelaksanaan projek fizikal ini yang dianggarkan sebanyak RM600,000.

Iklan

"Ketiga-tiga projek ini akan bermula pada penghujung Jun 2024 dan dianggarkan tempoh pelaksanaan projek ini memakan masa selama tiga bulan," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Jawi di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abd Hamid dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.

Iklan
Zairil (kanan) bersama Mohamad (kiri) dan Fadhlina pada sidang akhbar mengumumkan projek projek mitigasi banjir DUN Sungai Bakap yang akan dijalankan pada penghujung Jun ini.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, antara projek-projek mitigasi jangka pendek yang akan dilaksanakan termasuk kerja-kerja menaiktaraf tebing Sungai Baong dan kerja-kerja berkaitan di Kampung Changkat Dain.

Jelasnya, Kampung Changkat Dain dan kawasan sekitarnya sering dilanda banjir dengan kekerapan dua hingga tiga kali setahun akibat limpahan air Baong yang tidak dapat mengalir ke Sungai Jawi.

"Keadaan tebing sungai sedia ada yang terhakis dan tidak stabil dikhuatiri boleh menyebabkan runtuhan tebing terutamanya ketika paras air sungai tinggi dan aliran sungai laju ketika hujan lebat.

"Kerajaan negeri melalui JPS Negeri Pulau Pinang akan menyalurkan peruntukan Caruman Saliran Negeri sebanyak RM200,000 akan melaksanakan kerja mendalamkan laluan sungai yang sempit (bottleneck) sepanjang 1 kilometer dan pembinaan struktur tembok penahan (Gabion) untuk penstabilan tebing sungai di sepanjang 120 meter," katanya.

Selain itu, tambah beliau, kerja-kerja menaiktaraf tebing Sungai Buaya dan kerja berkaitan di Kampung Besar turut dilakukan bagi melebarkan sungai yang sempit (bottleneck) di Kampung Besar menyebabkan aliran sungai di bahagian hulu terjejas.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan kejadian banjir kilat di kawasan hulu Sungai Buaya dan kawasan berhampiran.

Beliau berkata, turut dibuat kerja-kerja menaiktaraf tebing Sungai Junjung dan di Kampung Sepulau untuk mengatasi isu yang sama.

Sementara itu, Zairil turut mengumumkan dua projek mitigasi banjir jangka panjang yang telah dilaksanakan di bawah peruntukan Persekutuan sebanyak RM246 juta iaitu projek tebatan banjir iaitu Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi, dan Projek Tebatan Banjir Sungai Kechil.

"Kedua-dua projek tebatan banjir ini dijangka dapat menyelamatkan 10,088 penduduk yang terjejas banjir di DUN Jawi dan Sungai Bakap serta mengurangkan kekerapan dan keluasan kawasan banjir sebanyak 1,790 hektar," katanya.

Penduduk Sungai Bakap bakal menghadapi PRK tidak lama lagi susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini dilaporkan akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK Sungai Bakap.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!