Operasi perobohan Sri Makmur ikut SOP

Iklan
Operasi perobohan di Kampung Sri Makmur, Isnin lalu.

GOMBAK - Pentadbiran Daerah Gombak menasihatkan orang ramai tidak mempercayai dakwaan palsu isu perobohan setinggan Kampung Sri Makmur seperti tular di media sosial dan disensasikan pihak tidak bertanggungjawab.

Pentadbir Daerah Gombak dalam satu kenyataan berkata, pengusiran dan perobohan terhadap penempatan setinggan itu pada Isnin adalah berdasarkan perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya telah bertindak menugaskan pegawai dan anggota penguat kuasa bagi membantu mengawal keselamatan ketika operasi berlangsung bersama anggota Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan dan teknikal yang lain.

Ujarnya, pada Isnin lalu, pihak Bailif daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melaksanakan tindakan pengusiran tersebut telah dihalang oleh penceroboh daripada memasuki tapak operasi.

Iklan

"Anggota penguat kuasa dan PDRM telah bertindak untuk membuka halangan daripada penceroboh bagi memberi laluan kepada jentera pemotongan utiliti dan jentera perobohan untuk masuk ke tapak operasi dan keadaan dapat dikawal dengan baik," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, anggota penguat kuasa sentiasa mengikut prosedur serta dipantau oleh pegawai yang bertugas untuk memastikan keseluruhan struktur terlibat termasuk surau dikosongkan sepenuhnya.

Iklan

"Barang-barangan, naskhah al-Quran atau apa jua bahan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran telah dialihkan ke tempat yang selamat bagi mengelakkan kerugian kepada pemilik struktur serta memelihara kesucian dan kehormatan kitab suci itu.

"Pihak pemaju juga telah melantik pekerja yang memakai jaket keselamatan bagi membantu pemilik struktur untuk memindahkan baki barangan yang masih ada di dalam struktur terlibat," katanya.

Tambahnya, sepanjang operasi berlangsung, segala provokasi serta halangan dapat dikawal dengan baik.

Bagaimanapun katanya, terdapat satu insiden seperti yang telah tular di media sosial membabitkan empat anggota penguat kuasa telah diserang oleh pemilik struktur yang terlibat dengan perobohan.

"Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terhadap suspek dan kini di bawah tindakan PDRM.

"Pada Selasa, Bailif dan pemaju telah melaporkan bahawa keseluruhan struktur di tapak operasi telah dirobohkan sepenuhnya dan pentadbiran telah menamatkan tugasan kawalan keselamatan," katanya.