SHAH ALAM - Pemuda Pas mengakui tidak goyah walaupun sistem pendidikan di bawah Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sering difitnah dan menerima tohmahan.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, rakyat Malaysia mengetahui keikhlasan dan melihat sendiri hasil pendidikan daripada guru-guru yang tidak meletakkan wang ringgit sebagai panduan kejayaan masing-masing.
"Bayangkan, sudah beberapa kali Ketua Pemuda Pas bertukar, namun masih ada guru yang tetap istiqamah mendidik anak-anak bangsa menjadi insan yang soleh dan solehah, sehingga ke hari ini.
"Bawalah seramai mana peguam, kami tetap ada bukti kukuh yang menunjukkan pengurusan kami telus dan sah, pendidikan yang terbaik serta hasil yang boleh diukur,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Tambah Afnan Hamimi, guru-guru telah mengajar di institusi tersebut mengetahui penat dan jerih mendidik anak bangsa.
Menurutnya, jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat dibalas dengan sambutan Hari Guru yang tidak seberapa itu.
"Mungkin apa yang dilakukan ini tidak seberapa jika nak diukur dengan jasa dan pengorbanan mereka di bawah sektor pendidikan DPPM.
"Ada guru-guru yang sudah berkhidmat selama 10 hingga 15 tahun, malah ada juga yang mengajar menghampiri 20 tahun,” katanya.
Afnan Hamimi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga pendidik yang bernaung di bawah sektor pendidikan DPPM.
Tambahnya, institusi pendidikan itu tidak akan berada di tahap yang memiliki alumni melebihi satu juta ahli tanpa jasa dan pengorbanan tenaga pengajar.
"Dengan jumlah itu sahaja dah cukup menunjukkan kejayaan guru kami mendidik anak bangsa sehingga mereka menjadi insan yang beriman dan beramal soleh.
"Selamat Hari Guru kepada guru-guru Pasti, Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI),” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!