BRASILIA - Sambutan hari lahir seorang kanak-kanak di Brazil ini bertukar tragedi selepas majlis itu diserang sekumpulan lelaki bersenjata ketika kejadian pada minggu lalu.
Rakaman yang menjadi tular di media sosial itu menunjukkan suasana gembira ketika keluarga dan rakan Heitor Moreira meraikan ulang tahun kesembilan ahli kelab akademi bola sepak Atlético Mineiro tersebut sebelum tiga lelaki melepaskan tembakan di kediamannya di bandar Vespasiano.
Serangan menggemparkan itu turut menyebabkan bapanya, Felipe Moreira, 26, dan sepupunya, Layza de Oliveira, 11, terbunuh.
"Heitor juga terkena empat das tembakan dan dia kini sudah berada dalam keadaan stabil. Lima mangsa disahkan cedera dalam kejadian itu dan dikejarkan ke Hospital Risole Neves.
"Salah seorang suspek turut mengalami kecederaan. Pihak berkuasa sedang giat memburu dua lagi suspek," ujar jurucakap Polis Tentera Minas Gerais.
Sementara itu, neneknya, Izaltina Moreira memberitahu kesemua penyerang tiba di hadapan rumah mereka dengan menaiki kereta dan mula melepaskan tembakan secara rambang.
Rekod polis menunjukkan Felipe dan keluarganya pernah diugut oleh sindiket dadah di kawasan Belo Horizonte selepas lelaki tersebut terbabit dalam pertikaian kartel barang terlarang tersebut. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!