BEKAS apit kanan negara, Mohd Zaini Redzuan yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kelmarin diibarat seperti memiliki mata pada kakinya ketika membuat rejaman bola di gelanggang sepak takraw.
"Itulah keistimewaan tersendiri Allahyarham sebagai perejam sehingga mampu membolosi adangan lawan walaupun ketika dia bukan dalam kedudukan sempurna untuk menyerang dari depan jaring.
"Apatah lagi era akhir 80-an hingga pertengahan 90-an skuad negara turut memiliki perejam handalan seperti Sha’ari Hashim, Zabidi Shariff, Iskandar Arshad dan Rehan Mohamad Din (Allahyarham).
"Libasan Maniamnya (gunting/backstoke) cukup mengelirukan dan padat malah berjaya menembusi blocking pemain-pemain Malaysia tersebut,” kata bekas apit kiri pengumpan gandingannya, Mohd Nizam Yassin.
Mohd. Zaini, pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pangkat terakhir Sarjan di Ibu Pejabat Kontinjen Perak, kembali ke rahmatullah pada usia 58 tahun, enam hari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya pada 25 Mei lalu.
Allahyarham yang merupakan anak jati Ipoh, Perak pernah digelar ‘Zaini Kalih’ meninggalkan seorang balu dan lima anak.
Beliau juga pernah menyarung jersi negara ke Piala Raja Thailand 1989 di Bangkok setelah dipanggil menggantikan Rehan yang menarik diri kerana mendirikan rumah tangga.
Mewakili PDRM dari 1987 hingga 1998, beliau juga membantu pasukan keselamatan itu menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari buat kali pertama pada 1990 selepas menumpaskan juara bertahan, Perak 2-0.
"Kami juga dengan tekong Baharudin Bahaudin mewakili PDRM ke Sukan Arafura 1997 di Australia yang memenangi pingat perak antara regu setelah kalah kepada Thailand.
"Paling saya kenang ialah ketika bersama arwah mara ke final Piala Isa 1992 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah menewaskan kelab Indonesia dan Singapura serta Kuala Lumpur,” kata Mohd Nizam.
Adakala tambahnya, Zaini membentuk gandingan perejam kembar regu PDRM dengan bekas pemain Terengganu di apit kiri, Yusof Chik dengan tekong mereka, Mohamed Noor Sulaiman.
*Abdul Hafiz Ahmad adalah penganalisis yang berpengalaman selama 25 tahun dalam kewartawanan sukan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!