YANG Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 yang dijadual berlangsung Khamis ini.
Naib Presiden SAM, Mohd Hazreen Mubarak berkata, pemilihan Mohd Ali yang pernah menerajui Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Persatuan Silat Malaysia (PESAKA) itu sebagai pengiktirafan kepada sumbangannya dalam sukan seni mempertahankan diri.
"Penglibatan Mohd Ali dalam arena sukan tidak dapat disangkal. Ia dapat dibuktikan dengan kejayaan kepimpinannya berjaya memacu MAKAF dan PESAKA lebih dikenali di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan SAM hari ini.
Sepanjang memimpin MAKAF, pelbagai kejayaan diraih skuad karate negara yang sinonim dengan julukan ‘lubuk emas’ di beberapa temasya sukan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia selain pernah meraih pencapaian terbaik satu perak dan satu gangsa di Kejohanan Dunia Persekutuan Karate Dunia (WKF) 2014 di Jerman.
Kepimpinan Mohd Ali tidak terhad di peringkat kebangsaan, malah turut mendapat pengiktirafan peringkat dunia apabila beliau diangkat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif WKF.
Selain MAKAF, PESAKA juga tidak ketinggalan mendapat sentuhan ajaib daripada beliau yang pernah mengemudi persatuan itu selama 20 tahun.
Dalam pada itu, SAM memaklumkan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dipilih sebagai penerima anugerah Persatuan Sukan Dinamik Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023.
"Pemilihan MTBC adalah berdasarkan pencapaian membanggakan serta komitmen persatuan untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan tenpin boling sekali gus memastikan boling terus menuai emas di pentas antarabangsa.
"Kegigihan MTBC memperhebat pencarian bakat muda juga menjadi faktor kesinambungan rentak kejayaan Malaysia," katanya.
Selain mengiktiraf atlet cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2023, turut diraikan pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.
Anugerah dibahagi kepada enam kategori - Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!