Kontena Israel di Iskandar Puteri: Johor tunggu laporan penuh sebelum ambil tindakan

Iklan
Mohd Fazli. Laporan Sinar Harian pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan terhadap dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, perkara itu diketahui susulan aduan yang diterima daripada wakil rakyat dan penduduk kampung pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, selain pihak pelabuhan, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) akan turut menyediakan laporan berhubung kontena terbabit sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kerajaan Johor memandang serius perkara ini. Saya sudah berhubung dengan pihak berkenaan (LPJ dan pihak pelabuhan) dan sedang menunggu maklum balas serta laporan penuh dari pihak berkenaan.

Iklan

"Pendirian, kerajaan negeri selari dengan persekutuan untuk tidak menjalin sebarang hubungan dengan Israel,"katanya ketika ditemui di Jalan Abdul Samad di sini, pada Ahad.

Menurut Mohamad Fazli, insiden terbabit merupakan yang pertama berlaku di pelabuhan di negeri membabitkan aduan kontena syarikat perkapalan dari Israel.

Iklan

"Orang awam digesa tidak mengambil tindakan sendiri dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diselesaikan dengan baik.

"Kita serahkan isu ini kepada pihak kerajaan berkuasa untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, buat masa ini kita tidak tahu apa isi kandungan kontena berkenaan,"katanya.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, mengarahkan LPJ dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) segera menyiasat dakwaan berkenaan.

Menurutnya, siasatan terperinci harus dilakukan termasuk melihat kemungkinan kontena terbabit dihantar oleh pihak ketiga.

Pada Sabtu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk berhubung perkara itu.

Susulan itu, Pandak meminta pihak berkuasa dan kerajaan memberikan penjelasan mengenai dakwaan kononnya kontena-kontena dari Israel masih dibawa masuk ke negara ini, walaupun kerajaan sudah mengeluarkan larangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!