MARAN - Pahang menjadi perintis dengan mewujudkan Sekretariat Perantau Anak Felda Pahang untuk kebajikan dan mendekati anak-anak Felda di luar negeri tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sekretariat itu akan diletakkan di bawah Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Menurutnya, kewujudan sekretariat itu memberikan peluang kepada kerajaan negeri menjelaskan sebarang dasar dan program yang dijalankan.
"Tahun ini juga sekretariat itu ditubuhkan mungkin dalam tempoh dua bulan lagi.
"Sebelum ini, kita nak letakkan sekali (anak Felda) di dalam Perantau Anak Pahang yang berada di luar Pahang.
"Jadi saya fikir anak Felda yang berada di luar Pahang pun ramai, jadi untuk lebih fokus, lebih menjurus, senang sekiranya ada program, maklumat dan sebagainya. Saya telah mengasingkan (sekretariat) dan meletakkan di bawah tanggungjawab Datuk Amizar," katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda Peringkat Negeri Pahang di pekarangan Stadium Tun Razak di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Amizar sendiri.
Ujar beliau, menerusi sekretariat itu juga, anak-anak Felda di luar Pahang boleh mendapat penerangan yang jelas selain terbabit dengan aktiviti-aktiviti seperti ramah mesra, jamuan raya yang dijalankan.
Jelas Wan Rosdy, penubuhan sekretariat itu juga dapat membantu untuk memperbetulkan sentimen dan persepsi salah yang disebarkan kepada anak-anak perantau Felda.
"Saya ada jumpa anak-anak Felda ini dan bertanya kenapa mereka tidak suka kepada kerajaan hari ini? Mereka kata pemberian hak milik perlahan sangat tapi bila saya kata dah beri 96 peratus, mereka terkejut.
"Jadi mereka mainkan sentimen dengan mengatakan seolah-olah Kerajaan Negeri Pahang tidak bersetuju beri suratan hakmilik walhal kita telah laksanakan," katanya.
Tambah beliau, ketiadaan platform khusus seperti sekretariat itu menyebabkan golongan tersebut terpengaruh dengan sentimen dan persepsi seolah-olah kerajaan tidak membantu mereka.
Sementara itu, Amizar memberitahu, setakat ini kira-kira 40,000 anak perantau Felda telah mendaftar dengan sekretariat berkenaan dan akan dilancarkan di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana memberikan kepercayaan kepada kami semua antaranya KAF (Kami Anak Felda) dan MBFM(Majlis Belia Felda Malaysia).
"Satu kertas kerja dan perbincangan akan dilakukan dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain untuk gabungkan semua anak peneroka Felda," jelasnya menyasarkan seramai mungkin untuk menyertai sekretariat terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!