KUANTAN - Ribuan pengunjung membanjiri Hari Terbuka sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-66 di Pangkalan Udara Kuantan, di sini pada Ahad.
Orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan cuti persekolahan untuk membawa keluarga menyaksikan pelbagai persembahan dan pertunjukan yang disediakan.
Difahamkan, ada pengunjung datang sejak awal pagi supaya tidak terlepas peluang selain mengelak kesesakan ekoran berlaku penutupan jalan di sekitar lokasi.
Sebanyak 23 aset udara mengambil bahagian untuk pertunjukan udara dan pameran statik.
Selain itu pelbagai pertunjukan termasuk pertunjukan udara, payung terjun dan pancaragam.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berangkat memeriahkan hari terbuka tersebut.
Pertunjukan udara dimulakan kira-kira jam 10 pagi dengan demonstrasi operasi menyelamat tebusan oleh Pasukan Khas Udara (Paskau) melibatkan penggunaan aset udara terdiri pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter.
Manakala pertunjukan udara segmen kedua diadakan kira-kira jam 3 petang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!