SHAH ALAM - Polis merampas telefon bimbit milik kedua ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, bagi siasatan lanjut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam menjalankan siasatan.
"Rampasan itu adalah bertujuan membantu siasatan.
"Berhubung perkara lain, buat masa ini kita tidak dapat dedahkan lagi," katanya pada Ahad.
Ibu dan bapa Zayn Rayyan direman selama tujuh hari sejak Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sinar Harian melaporkan peguam yang mewakili kedua-dua pasangan suami isteri itu, Mahmud Abdul Jumaat menyatakan pasangan berusia 28 tahun itu masih direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Penahanan pasangan 28 tahun itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam, dekat sini pada Jumaat, jam 10.25 pagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!