Bukan mustahil bina empangan air bawah tanah di Langkawi

Iklan
Muhammad Sanusi

KUALA MUDA - Pembinaan empangan air bawah tanah di Langkawi bukan sesuatu yang mustahil dilaksanakan berikutan kajian oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) kini di peringkat akhir.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kajian berkenaan mendapati Langkawi sesuai dibina empangan tersebut kerana ciri-ciri fizikalnya yang membolehkan ia dibina pada kos minimum berbanding kaedah lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemilihan projek pembekalan air tersebut bagi memastikan Langkawi memiliki bekalan air secukupnya diputuskan di peringkat Persekutuan.

"Saya tak akan sebut tentang projek ini kalau tiada agensi yang buat kajian. Malah sudah di peringkat akhir untuk dilaksanakan. Kaedah ini (empangan bawah tanah) dipilih oleh agensi bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bukan saya pilih,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Alam Sekitar peringkat negeri di Dataran Tsunami di Kota Kuala Muda di sini pada Ahad.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, pemilihan kaedah tersebut amat bertepatan kerana Langkawi memiliki dua buah bukit dan hanya memerlukan sekatan dilakukan di satu bahagian bagi menyimpan air bawah tanah untuk digunakan semula.

"Saya bukan umum sesuatu yang mustahil sebab sudah ada kajian dibuat untuk menjayakannya,” ujarnya.

Iklan

Menurutnya lagi, projek berkenaan diumumkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri yang memperuntukkan RM600 juta bagi projek pembekalan air ke Langkawi, termasuk pembaikan paip dasar laut sedia ada.

"Kita sudah mohon dan diluluskan RM50 juta untuk baiki paip dasar laut. Selain itu, beberapa kaedah dicadangkan antaranya membawa air mentah dengan bina Loji Rawatan Air (LRA) di sana dan diagihkan namun kos tinggi, selain cadangan kedua memproses air terawat.

"Kaedah ketiga ialah menapis air laut tetapi kita tidak cukup kapasiti tenaga malah lebih mahal dan kaedah ketiga ialah Kolam Takungan Hiliran (ORS) namun sumber sungai tidak mencukupi. Akhirnya dipilih kaedah kelima iaitu empangan air bawah tanah,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata, selepas kelulusan diberikan oleh Lembaga Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), perkara itu dibincangkan di peringkat mesyuarat Exco untuk dipertimbangkan.

"Hasilnya, beberapa jabatan teknikal akan adakan lawatan ke Jepun untuk melihat pelaksanaan operasi empangan tersebut kerana belum pernah ada di sini (negara ini).

"Kita (Kedah) hanya turuti pandangan pakar, mana yang terbaik itulah yang kita pilih,” jelasnya.

Pada Jumaat, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengatakan Kerajaan Persekutuan sedia membantu membina empangan bawah tanah di Langkawi, dalam usaha menjamin kualiti sumber dan kemampanan bekalan air bersih di pulau pelancongan tersebut.

Menerusi kenyataan dimuat naik di akaun media sosialnya, Akmal Nasrullah memaklumkan, langkah itu diyakini dapat meningkatkan sumber air di pulau Langkawi, sekali gus mengurangkan kebergantungan sumber air dari tanah besar.

Catatan tersebut turut disertakan rakaman video berdurasi 95 saat dipercayai selepas beliau meninjau projek pembinaan empangan bawah tanah di pulau itu, yang masih di peringkat awal pembinaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!