5G dwirangkaian: Syarikat telco bersedia ambil pegangan ekuiti DNB

Iklan
Fahmi menyampaikan ucapan pada Kejohanan Badminton Junior 'Road to NCT' di Sport Arena Sentosa pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Syarikat telekomunikasi (telco) yang terlibat dalam pelaksanaan model 5G dwirangkaian (Dual Network) sudah bersedia untuk menandatangani pengambilan pegangan ekuiti dalam syarikat Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu sejajar dengan tempoh melengkapkan proses penyediaan share subscription agreement pengambilan equiti DNB menjelang 21 Jun ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, rangkaian kedua 5G itu turut menumpukan kepada aspek tambahan iaitu penggunaan dalam sektor perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri.

"Rangkaian 5G ini paling bermanfaat kepada pihak industri dan PMKS, justeru kita memberi penekanan terhadap perkara ini dalam mesyurarat semalam,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Kejohanan Badminton Junior ‘Road to NCT’ di Sport Arena Sentosa, pada Ahad.

Iklan

Fahmi optimis selepas 21 Jun ini, proses rasmi membentuk rangkaian kedua itu dapat dimulakan.

Semalam empat kementerian utama iaitu Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengadakan perbincangan menyeluruh bagi merangka strategi serta pelan tindakan dalam pelaksanaan rangkaian kedua 5G.

Iklan

Sebelum ini syarikat telekomunikasi terlibat diberi tempoh 20 hari untuk memuktamad dan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam syarikat DNB.

Pada Mei tahun lepas, kerajaan mengumumkan mengenai peralihan daripada model 5G secara rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model 5G secara dwi rangkaian (DN). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!