Mengapa kita baik dengan China?

Iklan
Najib Tun Razak

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan hubungan rapat kerajaan sebelum ini dengan China adalah disebabkan oleh perkembangan positif ekonomi negara itu.

Katanya, China bakal menjadi kuasa ekonomi terbesar dalam tempoh lima hingga 10 tahun dari sekarang dan Malaysia turut mendapat manfaat darinya.

"China akan menjadi kuasa ekonomi terbesar dalam masa lima hingga 10 tahun dan berada di rantau Asia. Kita patut mempunyai hubungan baik dengan mereka," katanya dalam Wawancara Eksklusif di Sinar Live, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pelayar Facebook Sinar Harian yang bertanyakan tentang hubungan kerajaan sekarang dengan China.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa ekonomi dunia: China dijangka atasi AS]

Najib berkata, tindakan kerajaan membatalkan beberapa projek China memberi kesan terhadap hubungan dua hala negara.

"Antara kesannya, harga sawit terus jatuh kerana China tidak membeli pada tahap yang kita fikir boleh bantu harga sawit.

"Pelancong China juga berkurangan sebanyak 35 peratus. Tahun ini Lembaga Pelancongan Malaysia mengandaikan hasil pendapatan negara daripada aktiviti pelancongan adalah RM50 bilion," katanya.