Lebih 120 mayat rakyat Palestin dijumpai bawah runtuhan di Kem Jabalia

Iklan
Lebih 120 mayat rakyat Palestin dijumpai daripada runtuhan, dua hari selepas tentera Israel meninggalkan Kem Jabalia di utara Semenanjung Gaza. Foto AFP

BANDARAYA GAZA - Lebih daripada 120 mayat rakyat Palestin telah dijumpai daripada runtuhan, dua hari selepas tentera Israel meninggalkan Kem Jabalia di utara Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sumber perubatan di Hospital Kamal Adwan memberitahu Anadolu bahawa kru kecemasan dan pasukan pertahanan awam telah menjumpai lebih daripada 120 mayat rakyat Palestin dari jalan-jalan yang musnah dan di bawah runtuhan bangunan di Kem Jabalia, dengan kerja-kerja membersihkan sampah dan runtuhan masih diteruskan.

Iklan
Iklan

Pada Jumaat, tentera Israel mengisytiharkan tamatnya serangan mereka di kawasan Jabalia selepas 20 hari.

Hampir 36,400 rakyat Palestin maut di Gaza sejak Israel memulakan serangan hampir lapan bulan lepas. Majoriti yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak, dengan lebih daripada 82,400 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Iklan

Sebahagian besar Gaza dalam keadaan musnah di tengah-tengah sekatan Israel yang menghalang bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan keputusan terbaharunya mengarahkan Tel Aviv untuk segera menghentikan operasi di Rafah, di mana lebih daripada satu juta rakyat Palestin mencari perlindungan daripada serangan. - Bernama-Anadolu

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!